KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Papan Pemuka (Dashboard) H.E.M.A.T. bukan sahaja berfungsi sebagai medium pelaporan digital bersepadu bagi memantau dan memaparkan pencapaian inisiatif reformasi perkhidmatan awam malah berupaya meningkatkan ketelusan, memperkukuh akauntabiliti serta keyakinan rakyat terhadap usaha pembaharuan dalam sistem penyampaian kerajaan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata platform digital itu menghimpunkan pelbagai inisiatif dan program agensi kerajaan yang berteraskan nilai H.E.M.A.T. secara menyeluruh.
“Objektifnya jelas sebab kita nak tingkatkan lagi kesedaran pegawai awam terhadap nilai-nilai H.E.M.A.T dan menggalakkan penglibatan yang lebih meluas agensi kerajaan dalam pembudayaan nilai-nilai ini.
“Dashboard ini bakal menjadi wadah untuk mempamerkan pencapaian serta hasil kejayaan yang boleh kita banggakan bersama dan ia dapat membina keyakinan rakyat bahawa perkhidmatan awam sentiasa dekat di hati mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Dashboard H.E.M.A.T. sempena program Bicara Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi di Dewan Serbaguna, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara di sini hari ini.
Dashboard itu dibangunkan sepenuhnya oleh Bahagian Digital dan Teknologi Maklumat Jabatan Perkhidmatan Awam melalui kepakaran dalaman tanpa melibatkan kos luaran dengan 93 inisiatif didaftarkan setakat ini, melibatkan 24 panel penilai.
Antara ciri utamanya ialah pendekatan bersepadu bagi menilai impak projek dengan kos optimum, inovasi strategik melalui pemantauan serta paparan data masa nyata, dan impak terukur menerusi penilaian objektif berasaskan rubrik pemarkahan yang dibangunkan bersama dengan Universiti Putra Malaysia.
H.E.M.A.T. (Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran) telah diperkenal tahun lepas sebagai teras budaya kerja baharu yang progresif, inklusif dan berdaya saing dengan pembudayaannya disesuaikan oleh tiga prinsip iaitu memudahkan, menyesuaikan serta menyegerakan.
Wan Ahmad Dahlan berkata H.E.M.A.T. bukan sekadar slogan dan nilai semata-mata sebaliknya merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksana dengan penuh dedikasi serta inovasi yang harus menjadi enjin penggerak reformasi yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Setiap inisiatif yang didaftarkan pada platform itu perlu mengandungi sekurang-kurangnya satu daripada nilai H.E.M.A.T. serta program yang telah dilaksanakan bermula tahun lepas.
“Kita mestilah membudayakan nilai H.E.M.A.T... jadikan ia asas pegangan dalam pelaksanaan tugas yang diamanahkan... mudah-mudahan dengan itu, kita akan dapat memberikan perkhidmatan yang cekap, berkesan dan berkualiti untuk rakyat,” katanya.
Program Bicara Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi, yang dianjurkan oleh INTAN dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan itu turut dihadiri kira-kira 1,000 pegawai awam dari seluruh negara, berfungsi sebagai platfom strategik dalam menyampaikan mesej transformasi dan reformasi sektor awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial