AM

Lebih 25,000 Alumni RELASIS Sejak 2010, Sebahagian Sertai Pasukan Keselamatan Negara

21/09/2025 07:04 PM

ARAU, 21 Sept (Bernama) -- Pasukan beruniform Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) yang ditubuhkan sejak 2010 melahirkan lebih 25,000 alumni RELASIS, dengan sebahagian daripada mereka berjaya menyertai pasukan keselamatan negara seperti tentera dan polis.

Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) KPjR Lokman Effendi Ramli berkata RELASIS menjadi platform membentuk disiplin dan kepimpinan serta membangunkan jati diri serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa sekali gus dapat menyumbang kepada penyatuan kaum.

“RELASIS menyediakan ruang kepada mahasiswa pelbagai bangsa dan agama untuk bersama-sama bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan selain melatih mereka menghayati nilai patriotisme dan semangat khidmat kepada masyarakat.

“Anggota RELASIS (antaranya) berperanan penting dalam program gotong-royong dan khidmat komuniti, termasuk membantu masyarakat selepas bencana. Mereka juga layak menerima elaun sekiranya ditugaskan sebagaimana anggota sukarelawan RELA lain,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan RELASIS 2025 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Sebanyak 321 pelatih daripada 20 pusat pengajian Universiti Awam dan Politeknik seluruh negara ditauliahkan Pegawai Sukarelawan Muda pada majlis itu, selain penyampaian Anugerah Pelajar RELASIS Terbaik melibatkan Kategori Keseluruhan Terbaik, Kepimpinan Terbaik, Disiplin Terbaik dan Kawad Terbaik.

Sementara itu, Lokman Effendi berkata bagi 2025, terdapat lebih 1,870 anggota RELASIS berdaftar membabitkan 31 institusi pengajian tinggi awam seluruh negara dan aktif menyertai pelbagai aktiviti komuniti, latihan dan program kemasyarakatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan