AM

Raja Muda Perlis Seru Langkah Strategik Diambil Demi Kemajuan Industri Batik

14/09/2025 08:42 AM

Daripada Shuhaida Mohd Said

BANDUNG, 14 Sept (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar langkah strategik dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan dan kemajuan industri batik di rantau ini.

Baginda bertitah, industri batik kini berdepan pelbagai cabaran termasuk isu kelestarian alam sekitar, pemalsuan produk, kekurangan pewaris dalam kalangan generasi muda serta persaingan sengit di pasaran global.

“Rantaian nilai dalam industri batik perlu diperhebat. Daripada artisan kecil hingga pemain industri berskala besar, semua pihak wajar menerima sokongan melalui program inkubasi, platform e-dagang, pensijilan kualiti dan perlindungan hak cipta demi menjamin kelestarian produk asli.

“Pelancongan kreatif juga boleh dimajukan menerusi inisiatif seperti Batik Trails Nusantara yang menghubungkan bandar-bandar warisan di Malaysia dan Indonesia.

“Usaha ini boleh menggabungkan pengalaman bengkel batik, galeri seni, homestay tempatan serta keunikan kulinari serantau bagi menarik minat pelancong dan memperkasa ekonomi komuniti setempat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas menyaksikan proses pembuatan batik di Batik Komar di sini, sempena International Leadership Mobility 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang turut disertai Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Tuanku Syed Faizuddin selaku Tuanku Canselor UniMAP bertitah, di Malaysia, batik telah berkembang sebagai identiti nasional dan Perlis tidak ketinggalan dalam usaha memartabatkannya dan melalui UniMAP, baginda melihat potensi besar untuk menjadikan batik bukan sahaja warisan, malah sumber inovasi, ekonomi dan diplomasi budaya.

“Kolaborasi erat antara universiti dan industri perlu diperkukuh. UniMAP wajar menjalin kerjasama dengan institusi di Indonesia dan Malaysia dalam bidang penyelidikan pewarna semula jadi, teknologi tekstil hijau serta inovasi reka bentuk batik yang lebih lestari.

“Selain itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga harus diperkasa melalui pertukaran pelajar dan pensyarah, program perantisan rentas negara serta pembangunan modul pewarisan kemahiran batik moden yang relevan dengan keperluan masa kini,” titah baginda.

Titah baginda lagi, lawatan tersebut diharap menjadi perintis kepada kolaborasi yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia dan Indonesia, tetapi juga kepada dunia sebagai contoh bagaimana warisan mampu bergerak seiring inovasi.

Baginda turut menzahirkan harapan agar 'Inisiatif Perkongsian Batik Nusantara' dapat direalisasikan dengan UniMAP sebagai jambatan akademik dan penyelidikan serta Perlis sebagai hab inovasi batik serantau.

Dalam pada itu, Raja Muda Perlis turut menitipkan pesanan kepada generasi muda agar melihat batik bukan sekadar pakaian, sebaliknya sebagai bahasa identiti, akar sejarah dan lambang maruah bangsa.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan