AM

Malaysia Bakal Miliki Tapak Pelancar Roket Pertama Asia Tenggara Menjelang 2029

20/09/2025 09:27 PM

SUNGAI BESAR, 20 Sept (Bernama) -- Malaysia bakal menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mempunyai tapak pelancar roket sendiri menjelang 2029, dengan menumpukan tiga lokasi cadangan di Pahang, Sarawak dan Sabah sejajar Dasar Angkasa Negara 2030.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Datuk Azlikamil Napiah berkata usaha berkenaan berpotensi menyumbang sekurang-kurangnya RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekiranya Malaysia menjadi peneraju industri angkasa di rantau ini.

“Setakat ini, tiga pihak menunjukkan minat dan satu daripadanya telah menghantar laporan kajian kebolehlaksanaan lengkap pada minggu lepas. Penilaian terhadap laporan berkenaan akan diproses dalam tempoh 90 hari selepas ia diserahkan kepada MYSA.

“Mana-mana pelabur luar yang berminat dengan projek ini perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan selain mendapat persetujuan kerajaan negeri memandangkan isu tanah adalah bidang kuasa negeri,” katanya selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Menaik Taraf dan Membaik Pulih Surau di Surau Parit 5 Timur (Tengah), Jalan Baru di sini hari ini.

Beliau berkata lokasi tapak pelancar di negara ini dapat memberi kelebihan ekoran kedudukan Malaysia terletak di atas garisan Khatulistiwa yang membolehkan pelancaran roket dilakukan dengan lebih efisien serta menjimatkan kos bahan api.

Pada masa sama, Azlikamil memaklumkan menerusi projek sama, pihaknya menyasarkan untuk memiliki satelit pemerhatian bumi sendiri, membangunkan bandar angkasa lepas termasuk menyediakan khidmat pelancar roket.

“Pembinaan ini akan dilaksanakan secara kerjasama awam-swasta (PPP) membabitkan perkongsian kos antara kerajaan dan pelabur, serta dijangka dimulakan sekitar awal 2029 selepas semua proses penilaian, kelulusan serta persediaan infrastruktur selesai.

“Selain membuka peluang pelaburan, pembangunan tapak pelancar roket ini juga dapat memberikan kesan limpahan ekonomi kepada rakyat melalui pembinaan infrastruktur, tenaga serta peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Terdahulu, Azlikamil menyerahkan lima surau yang sudah dinaik taraf dan dibaik pulih membabitkan lima kampung di bawah Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dengan peruntukan RM315,000.

Surau Ehsaniah, Parit 2 Timur; Surau Tuan Guru Haji Bahaudin, Parit 3 Timur; Surau Haji Mohamad, Parit 3 1/2 Timur; Surau Nur Al-Iman, Parit 4 Timur dan Surau Parit 5 Timur (Tengah) mula dinaik taraf dan dibaik pulih sejak 9 Jun lepas dan siap sepenuhnya pada 8 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan