SUNGAI BESAR, 20 Sept (Bernama) -- Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) terus mendukung dan mengangkat semangat aspirasi MADANI dengan menyerahkan kembali lima surau yang sudah dinaik taraf dan dibaik pulih membabitkan lima kampung dengan peruntukan RM315,000.
Ketua Pengarah MYSA Datuk Azlikamil Napiah berkata inisiatif itu dimulakan serentak pada 9 Jun lepas, dan siap sepenuhnya dalam masa dua bulan membabitkan surau dalam kawasan kampung yang terlibat dengan Program Kampung Angkat MADANI (KAM).
“Melalui peruntukan RM315,000, kelima-lima surau iaitu Surau Ehsaniah, Parit 2 Timur; Surau Tuan Guru Haji Bahaudin, Parit 3 Timur; Surau Haji Mohamad, Parit 3 1/2 Timur; Surau Nur Al-Iman, Parit 4 Timur dan Surau Parit 5 Timur berjaya disiapkan pada 8 Ogos lepas.
“Antara kerja-kerja yang dijalankan adalah penggantian bumbung dan siling, naik taraf tempat wuduk, sistem siar raya, pendawaian, tandas, longkang serta membekal dan memasang karpet,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Siap Kerja Menaik Taraf dan Membaik Pulih Surau di Surau Parit 5 Timur, Jalan Baru di sini hari ini.
Beliau berkata fasiliti yang lebih baik dan selesa akan menarik minat kariah terutamanya generasi muda mengimarahkan surau kerana ia bukan sekadar tempat solat semata-mata, malah berfungsi sebagai pusat ibadah, tempat pengajian ilmu, majlis kebajikan serta medan membina perpaduan ummah.
Pada masa sama, Azlikamil juga mengingatkan penduduk kampung tanggungjawab menjaga, memelihara dan mengimarahkan surau selepas ini adalah amanah yang perlu dipikul bersama oleh ahli kariah.
“Janganlah dibiarkan kemudahan yang dinaik taraf ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Isilah surau dengan solat berjemaah, kuliah agama, kelas al-Quran, program kebajikan serta aktiviti kemasyarakatan yang mampu mendekatkan kita kepada Allah dan mengukuhkan perpaduan.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan surau sebagai pusat penyatuan ummah, sumber ilmu dan tempat lahirnya masyarakat yang berakhlak mulia, selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya.
Program KAM satu daripada inisiatif nasional yang digagaskan di bawah Malaysia MADANI untuk memperkasa komuniti melalui pendekatan bersepadu dan inklusif serta bersasar seperti melaksanakan naik taraf fasiliti dan memperkasakan sumber ekonomi penduduk kampung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial