GUA MUSANG, 20 Sept (Bernama) --Program Satelit MADANI memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat Orang Asli di kawasan pinggir bandar, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud.
Beliau berkata inisiatif itu membolehkan komuniti pedalaman menikmati pelbagai program kerajaan termasuk Jualan Rahmah, sukan rakyat dan pameran agensi kerajaan.
“Antara kemuncak program ialah pemberian 400 ekor ayam segar secara percuma serta petrol percuma kepada 400 motosikal,” katanya pada Program Eksplorasi Perpaduan dan Satelit MADANI Rakyat 2025 di Kuala Betis, kira-kira 30 kilometer dari sini, hari ini.
Selain itu, reruai berkonsepkan kepelbagaian kaum turut dipamerkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat Orang Asli mengenai keunikan budaya Malaysia.
“‘Rumah Kami’ menampilkan adat serta keistimewaan empat kaum utama iaitu Melayu, Cina, India dan etnik Borneo. Melalui reruai ini, masyarakat Orang Asli berpeluang melihat, menyentuh dan merasai sendiri perhiasan, makanan serta kraftangan pelbagai kaum di negara ini,” katanya.
Terdahulu, beliau turut melancarkan Galeri Orang Asli pertama di Kuala Betis yang mengetengahkan asal-usul serta kisah kejayaan tokoh Temiar, Bateq dan Mendriq.
Menurutnya, galeri itu juga mendokumentasikan adat, kebudayaan dan warisan Orang Asli di Kelantan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial