KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Grab meraikan Hari Malaysia tahun ini dengan menghargai setiap insan dan bakat tempatan yang membina serta memacu aplikasinya hingga menjadi antara superapp terkenal di rantau ini.
Bermula sebagai MyTeksi pada 2011 dengan menyediakan pengangkutan lebih selamat, Grab kini berkembang menjadi platform perkhidmatan utama serantau yang merangkumi mobiliti, penghantaran makanan dan pembayaran digital yang memudahkan kehidupan harian rakyat.
Warga Grab bukan sekadar pencipta inovasi teknologi, malah mereka juga merupakan pembina negara yang berkhidmat tanpa lelah untuk memajukan komuniti, memperkasa individu dan memastikan Malaysia terus maju dalam era digital.
Ketua Pegawai Teknologi Grab Suthen Thomas, yang menyertai syarikat itu sejak awal penubuhan, berkata cabaran terbesar pada waktu itu bukan hanya membina aplikasi berkenaan tetapi memastikan ia benar-benar memberi impak kepada masyarakat.
“Daripada pemilihan bahasa pengaturcaraan hingga kepada rombakan menyeluruh kod asas, perjalanan ini penuh dengan cabaran, percubaan dan kesilapan, namun sentiasa dipandu oleh hasrat untuk mencipta nilai dan bukan teknologi semata-mata,” katanya dalam kenyataan.
Suthen berkata Grab turut berfungsi sebagai pencetus peluang baharu, termasuk menyokong perniagaan kecil dan memperkasa bakat tempatan melalui lebih 2,000 jawatan dalam pasukan teknologi syarikat tersebut.
Tambah beliau, Grab juga giat melaksanakan inisiatif kecerdasan buatan (AI) seperti Grab G/AI Sprint bagi membantu petugas meningkatkan kemahiran untuk masa hadapan.
Sementara itu, Pengurus Kanan Operasi Peta Grab Nurmalina Zainal Abidin berkata GrabMaps yang dahulunya tidak lengkap dan ketinggalan zaman, kini telah berkembang menjadi sistem peta yang lebih tepat dan relevan dengan keadaan sebenar jalan raya serta komuniti di Malaysia.
Nurmalina berkata penambahbaikan itu berjaya dicapai melalui kerjasama rapat bersama rakan pemandu serta penggunaan teknologi AI dan Internet benda (IoT).
“Sebaik sahaja rakan pemandu memasukkan maklumat ke dalam GrabMaps, Grab menggunakan AI untuk menganalisis dan mentafsirkannya, lalu menukarkannya menjadi panduan yang jelas dan mudah diikuti. Maklum balas ini membantu kami menambah baik navigasi secara berterusan, menjadikan laluan lebih tepat dan arahan lebih lancar,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pembangunan peta tersebut bukan sekadar usaha teknikal tetapi misi untuk menghubungkan rakyat Malaysia serta memastikan inovasi yang dibangunkan memberi manfaat kepada semua pihak.
“Keranamu Malaysia bermakna memastikan inovasi kami benar-benar memberi manfaat kepada semua. Sama ada memudahkan peta untuk pemandu, meningkatkan kebolehan akses untuk penumpang, atau menyokong inisiatif akan datang oleh kerajaan, kerja saya dipandu oleh keyakinan bahawa teknologi seharusnya merapatkan kita semua,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial