IPOH, 20 Sept (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas terjatuh di kawasan Air Terjun Buntong, di sini hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 11.26 pagi memohon bantuan membawa turun mangsa.
Beliau berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya anggota di kaki bukit, pasukan perlu berjalan kaki kira-kira satu kilometer sebelum tiba di lokasi mangsa jatuh.
"Mangsa yang cedera telah menerima rawatan awal daripada petugas KKM sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazlean berkata operasi terkawal pada 2 petang dan tamat sepenuhnya pada 2.20 petang sebelum mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa ke tempat kejadian bersama enam rakannya untuk mandi di kawasan air terjun berkenaan.
"Saksi iaitu kawannya telah melihat mangsa memanjat ke puncak ketinggian air terjun untuk melihat pemandangan dari atas sebelum tiba-tiba terjatuh atau tergelincir dari tebing batu tersebut.
"Pasukan ambulans yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian. Tiada sebarang unsur jenayah dikesan berdasarkan keterangan saksi yang juga rakan mangsa," katanya.
Beliau berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat, yang kemudiannya mengesahkan punca kematian akibat hentakan kuat pada bahagian kepala.
“Sampel darah dan air kencing mangsa turut dihantar ke pejabat kimia untuk tindakan susulan, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Abang Zainal Abidin turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti riadah di kawasan air terjun terutamanya di bahagian berbatu yang licin dan berbahaya.
Orang ramai diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan M T Michael Jevadas di talian 016-5325208 bagi membantu siasatan, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial