ISTANBUL, 20 Sept (Bernama-Anadolu) -- Serangan siber terhadap penyedia sistem pihak ketiga menyebabkan gangguan penerbangan besar-besaran di beberapa lapangan terbang utama Eropah, termasuk Lapangan Terbang Heathrow di London, serta di Brussels dan Berlin, menurut pihak berkuasa pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.
Lapangan Terbang Brussels mengesahkan sekurang-kurangnya empat penerbangan dibatalkan pada pagi Sabtu, termasuk ke Rwanda dan Amsterdam, susulan serangan pada Jumaat malam yang menjejaskan sistem daftar masuk dan pelepasan automatik.
Pihak lapangan terbang memaklumkan hanya daftar masuk secara manual boleh dilakukan ketika ini, dan memberi amaran mengenai "kesan besar terhadap jadual penerbangan", dengan lebih banyak kelewatan dan pembatalan dijangka berlaku.
Lapangan Terbang Berlin turut memberi amaran kepada penumpang mengenai "masa menunggu lebih lama daripada biasa" akibat insiden itu.
“Kami sedang berusaha mencari penyelesaian segera,” menurut kenyataan di laman sesawang lapangan terbang itu.
Lapangan Terbang Heathrow di London juga menasihatkan penumpang agar bersedia menghadapi kelewatan, sambil merujuk kepada "isu teknikal" yang berlaku di Collins Aerospace iaitu syarikat yang membekalkan sistem daftar masuk dan pelepasan kepada beberapa syarikat penerbangan di seluruh dunia.
“Kami menasihatkan penumpang untuk menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang,” menurut kenyataan itu, sambil menyatakan yang kakitangan tambahan dikerahkan bagi membantu.
Collins Aerospace mengesahkan yang perisian MUSE mereka, yang digunakan untuk daftar masuk penumpang dan penurunan bagasi di beberapa lapangan terbang menjadi sasaran serangan siber, menurut akhbar harian British, The Independent.
“Kesan serangan hanya melibatkan daftar masuk elektronik dan penurunan bagasi dan boleh diatasi dengan operasi secara manual,” menurut syarikat itu, sambil menjelaskan yang mereka sedang berusaha memulihkan sistem sepenuhnya “secepat mungkin.”
Syarikat penerbangan EasyJet pula menyatakan bahawa operasi mereka tidak terjejas walaupun berlaku gangguan.
Pihak berkuasa di Brussels dan Berlin memaklumkan, tempoh gangguan masih belum dapat dipastikan sementara usaha pembaikan sedang giat dijalankan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial