AM

35 Lampu Solar Bernilai RM122,500 Di Pasang Di Tujuh Lokasi Di Kawasan Parlimen Kulai

19/09/2025 10:48 PM

KULAI, 19 Sept (Bernama) -- Sebanyak 35 lampu solar dengan kos keseluruhan RM122,500 dipasang di tujuh lokasi sekitar Parlimen Kulai menerusi Projek Sinar Harapan, yang siap sepenuhnya pada 11 Sept lepas.

Ahli Parlimen Kulai yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata projek itu dilaksanakan hasil permintaan masyarakat tempatan dan pemilihan dilakukan selepas tinjauan bersama Pejabat Ahli Parlimen serta Pegawai Kemajuan Perkampungan.

“Spesifikasi lampu solar ini ialah 60 watt, berketinggian enam meter, mampu berfungsi 12 jam dari 7 malam hingga 7 pagi, mempunyai bateri tahan untuk dua hari dan jaminan selama dua tahun.

“Jadi, penduduk tidak perlu bimbang kerana sebarang kerosakan boleh diperiksa segera oleh kontraktor,” katanya pada sidang media selepas lawatan tapak projek di Gelanggang Taman Impian Senai di sini malam ini.

Teo berkata lokasi pemasangan melibatkan Taman Rekreasi Taman Impiana Senai (empat), Kampung Baru Senai (dua), Kampung Baru Sengkang (dua), Taman Rekreasi Kampung Baru Ayer Bemban (10), Kampung Baru Sedenak (satu), Dewan Raya PPS Kampung Murni Jaya (10) dan Surau Ayer Bemban (enam).

Beliau berkata pemasangan lampu solar itu menjadi penyelesaian segera kerana proses pemasangan lampu jalan oleh Tenaga Nasional Bhd biasanya mengambil masa lebih panjang. 

“Teknologi lampu solar LED yang digunakan telah diluluskan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan serta diperakui SIRIM,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan