JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Rugi Lebih RM70,000 Ditipu Sindiket Pelaburan Tidak Wujud

20/09/2025 11:47 AM

KUALA TERENGGANU, 20 Sept (Bernama) -- Seorang warga emas kerugian sebanyak RM76,740 selepas ditipu sindiket pelaburan tidak wujud melalui laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 62 tahun itu telah melihat iklan pelaburan saham di laman sosial Facebook pada 24 Ogos lepas.

Beliau berkata mangsa yang juga bekas pekerja industri minyak dan gas telah menekan pautan yang diberi dan dihubungkan ke satu kumpulan WhatsApp yang dikendalikan oleh seorang wanita.

"Suspek wanita yang memperkenalkan diri sebagai tenaga pengajar telah menerangkan tentang tatacara pelaburan kepada ahli kumpulan WhatsApp terbabit.

"Mangsa yang berminat telah membuat pelaburan berjumlah RM76,740 yang dimasukkan ke tujuh akaun bank berbeza dari tempoh 24 Ogos hingga 18 Sept," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa menyedari ditipu selepas gagal memperoleh keuntungan yang dijanjikan, malah diminta membuat tambahan modal dengan pulangan berlipat ganda.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelbagai taktik penipuan sindiket," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan