EKONOMI

FBG Cadang Kumpul Dana Projek Medi-City Melalui Terbitan Hak

18/09/2025 08:39 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- FBG Holdings Bhd, syarikat kontraktor siap guna dan pemaju hartanah bercadang untuk melaksanakan terbitan hak boleh lepas dengan waran untuk mengumpul dana bagi projek utama syarikat iaitu Medi-City.

Ia berkata berdasarkan anggaran harga terbitan 18.0 sen setiap saham hak, cadangan terbitan hak dengan waran itu dijangka mengumpul kira-kira RM100.1 juta berdasarkan kepada senario asas.

Pelaksanaan itu akan melibatkan terbitan sehingga 836.6 juta saham biasa baharu berdasarkan tiga saham hak untuk setiap empat saham sedia ada yang dipegang, kata kumpulan itu.

FBG berkata langkah itu juga akan melibatkan sehingga 278.9 juta waran boleh cerai percuma yang akan diterbitkan berdasarkan satu waran bagi setiap tiga saham hak yang dilanggan oleh pemegang saham yang layak.

“Dana yang diperoleh itu akan membolehkan kami mengambil langkah pertama untuk memulakan pembangunan projek Medi-City, dengan visi mewujudkan ekosistem perubatan yang menggabungkan kemudahan penjagaan kesihatan dengan gaya hidup bandar,” kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan FBG Tan Sri Chan Kong Choy dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan itu berkata dana yang diperoleh akan digunakan terutamanya untuk membiayai pengambilalihan tanah bagi pembangunan di bawah projek Medi-City, dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM2.0 bilion.

“Sekiranya tidak berlaku sebarang keadaan yang di luar jangka, cadangan terbitan hak dengan waran itu dijangka selesai pada suku keempat 2025,” tambah FBG.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan