EKONOMI

Kejayaan Raih Tiga Anugerah Di Enlit Asia 2025 Bukti Kecemerlangan Inovasi, Kemampanan TNB

19/09/2025 10:10 AM

Oleh M.Saraswathi

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kejayaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) meraih tiga anugerah semasa persidangan dan pameran antarabangsa berprestij Enlit Asia 2025 di Bangkok baru-baru ini membuktikan penerajuan inovasi dan kemampanannya dalam sektor kuasa dan tenaga.

Daripada tiga anugerah itu dua merupakan pengiktirafan terhadap projek Penyenggaraan Prediktif AI Kabel 11kV dan satu lagi bagi projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Pulau Tenaga Hijau (PTH), yang membekalkan kuasa ke pulau terpencil yang tidak mempunyai sambungan ke grid elektrik utama.

Pengiktirafan ini sudah pastinya meningkatkan kedudukan TNB sebagai syarikat utiliti dinamik yang aktif memacu peralihan tenaga sejajar dengan trend penyahkarbonan global. 

Projek PTH yang terletak di Pulau Perhentian dan Pulau Redang di Terengganu dipilih sebagai pemenang utama bagi kategori Projek Penyimpanan Tenaga.

Projek itu, yang menampilkan penggunaan sumber tenaga bersih dan boleh baharu, membolehkan penyimpanan tenaga yang lebih cekap sambil menyokong sistem tenaga rendah karbon di kawasan pulau.

Ia sekali gus mencerminkan komitmen TNB untuk memacu transformasi tenaga melalui teknologi digital dan mampan.

Menjelang 2027, campuran penjanaan tenaga untuk Pulau Perhentian dan Pulau Redang diunjurkan terdiri daripada 22 peratus sumber boleh baharu, dengan baki 78 peratus daripada gas asli cecair (LNG).

Pada masa ini, kedua-dua pulau itu bergantung kepada penjana diesel.

Kejayaan projek Pulau Tenaga Hijau itu menyerlahkan keupayaan TNB untuk melaksanakan penyelesaian transformatif dalam persekitaran yang mencabar seperti di pulau terpencil.

Tidak kurang pentingnya juga adalah pengiktirafan terhadap inisiatif Penyenggaraan Prediktif AI TNB, yang memperlihat bagaimana teknologi digital boleh meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan perkhidmatan pelanggan.

Penyenggaraan Prediktif AI untuk Kabel 11kV, yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti kabel berisiko tinggi bagi penyenggaraan awal, mendapat tempat kedua dalam dua kategori, iaitu Projek Utiliti Kuasa Terbaik dan Rangkaian Penghantaran dan Pengagihan.

Inisiatif penyenggaraan prediktif TNB yang dikuasakan teknologi AI ​​mengubah pengurusan rangkaian kabel bawah tanah 11kV, yang selalunya terjejas akibat kerosakan yang banyak kali setiap tahun.

Projek itu yang berjaya dirintis di Selangor dengan ketepatan lebih 80 peratus dalam meramalkan kegagalan sehingga dua tahun lebih awal, telah mengurangkan kegagalan kabel sebanyak 15 peratus kepada 20 peratus, sekali gus meningkatkan dengan ketara kebolehpercayaan terhadap perkhidmatan. 

Dengan menggunakan AI untuk meramal dan mencegah gangguan, syarikat utiliti itu beralih daripada penyenggaraan reaktif kepada pengurusan infrastruktur yang proaktif.

Selain penjimatan kos, inisiatif ini juga mengukuhkan daya tahan, memastikan isi rumah dan perniagaan Malaysia menikmati bekalan elektrik yang lebih terjamin.

Pencapaian ini juga mengukuhkan peranan TNB sebagai pengupaya utama aspirasi Sifar Bersih 2050 Malaysia sambil menjadikan syarikat sebagai peneraju serantau dalam amalan utiliti moden.

Enlit Asia adalah persidangan dan pameran tahunan untuk sektor kuasa dan tenaga, mengetengahkan pengetahuan pakar dan penyelesaian inovatif daripada pemimpin industri, selaras dengan strategi ASEAN untuk mencapai peralihan yang lancar ke arah masa depan tenaga rendah karbon.

Anugerah Kuasa & Tenaga sempena persidangan itu merupakan penanda aras serantau untuk kecemerlangan, meraikan kejayaan dan mengiktiraf rakyat dan perniagaan yang mendorong sempadan dan memacu sektor kuasa dan elektrik Asia Tenggara.

Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada mereka yang merancang dan melaksanakan projek yang dapat meningkatkan amalan perniagaan dengan ketara merentasi subjek utama Enlit Asia, termasuk penjanaan kuasa, penghantaran dan pengagihan, grid pintar, tenaga boleh baharu, revolusi tenaga, inovasi, serta sumbangan individu.

.Enlit Asia 2025 menarik lebih 12,000 kehadiran peserta dengan menampilkan 350 reruai peserta pameran yang mempamerkan teknologi termaju merentas rantaian nilai kuasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan