KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan terus proaktif memposisikan industri halal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara terutama dalam perbincangan perdagangan dalam setiap misi pelaburan dan libat urus dua hala, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia menjadikan halal sebagai model ekonomi sejagat, dan ia akan menjadi sebahagian daripada rundingan dua hala dengan negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam atau negara bukan Islam.
"Sebagai contoh, dalam KazanForum 2025 di Rusia baru-baru ini, saya menonjolkan kepakaran Malaysia dalam pensijilan halal dan menawarkan sokongan kita untuk memperkukuh standard halal global.
"Pada Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Brazil, saya menyeru syarikat-syarikat Brazil dan Malaysia untuk merebut peluang perniagaan dalam industri halal," kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 di sini hari ini.
Anwar turut menekankan bahawa Malaysia telah mengekalkan kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) selama 11 tahun berturut-turut.
“Kecemerlangan Malaysia amat ketara dalam kewangan Islam, makanan halal serta media dan rekreasi. Ini adalah hasil usaha bersepadu kerajaan untuk meletakkan industri halal sebagai antara tonggak utama pertumbuhan strategik negara,” kata beliau.
Menurut Perdana Menteri, Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 telah menetapkan hala tuju jelas untuk memposisikan Malaysia sebagai hab halal terkemuka dunia.
“Saya perlu menekankan bahawa pemacu pertumbuhan industri halal adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Sehubungan itu, kerajaan MADANI akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh peranan dan kedudukan mereka dalam pasaran global,” katanya
Beliau juga menegaskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sejumlah dana yang besar telah diperuntukkan bagi meningkatkan pertumbuhan sektor halal.
Sektor ini dijangka menyumbang sebanyak RM231 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, didorong oleh permintaan yang tinggi dalam makanan, kewangan dan pelancongan.
“Sebagai perbandingan, pasaran halal global kini bernilai lebih RM16.02 trilion dan dijangka mencecah RM22.88 trilion menjelang 2030,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata dari segi sasaran perdagangan -- disokong oleh dasar negara yang kukuh dan rekod pencapaian MIHAS -- eksport produk dan perkhidmatan halal dijangka mencapai RM80 bilion menjelang 2030.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan menggalakkan syarikat Malaysia untuk memanfatkan pendigitalan dalam perdagangan untuk kekal berdaya saing di peringkat global.
“Dengan memanfaatkan teknologi digital, syarikat Malaysia boleh meningkatkan kecekapan operasi, memperluas jangkauan pasaran dan membuka peluang baharu dalam ekonomi digital dan perdagangan rentas sempadan.
“Sehubungan itu, saya gembira untuk berkongsi bahawa MIHAS 2025 akan menggunakan sepenuhnya platform Perdagangan Digital MADANI (MDT), platform berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk mengoptimumkan padanan perniagaan rentas sempadan terutama bagi pengeksport dan pengimport halal Malaysia termasuk PMKS,” kata Anwar.
Anwar berkata melalui sokongan teknologi maju seperti analisis data raya, pengkomputeran awan dan AI, MDT dijangka berkembang menjadi platform perdagangan pintar dan seterusnya menjadi pemacu perubahan sebenar bagi industri halal Malaysia.
“Oleh itu, saya menyeru masyarakat antarabangsa, komuniti perniagaan dan wakil industri supaya memanfaatkan halal sebagai sistem nilai -- yang memperjuangkan penggunaan beretika, keadilan sosial, kemuliaan manusia dan kelestarian alam sekitar.
“Kita mesti memperkasakan rakyat untuk menjadi pengguna beretika, menyokong usahawan halal bagi menembusi pasaran global dan membangunkan generasi baharu pakar profesional halal yang mahir bukan sahaja dalam ilmu agama malah sains makanan, teknologi, kejuruteraan dan undang-undang,” kata Perdana Menteri.
MIHAS 2025 dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur bermula 17 hingga 20 Sept 2025.
Bertemakan "Mercu Keunggulan Halal," acara ini menyediakan 2,400 reruai dengan penyertaan pempamer dan pembeli dari 80 negara, dan dijangka menarik ketibaan 45,000 pengunjung.
MIHAS 2025 dijangka mencapai sasaran jualan sebanyak RM4.5 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial