AM

MSMR: 15,000 Peserta Lari Bersarong, Berirama Sempena Hari Malaysia 2025

20/09/2025 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Sebanyak 15,000 peserta termasuk dari 26 negara menyertai edisi ketiga Acara Malaysia Sarong Music Run (MSMR) yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia 2025 hari ini.

Presiden Malaysia Marathon yang juga Pengasas MSMR Eddy Casmady berkata acara itu kini berkembang sebagai festival komuniti bertaraf antarabangsa dengan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.

“Meskipun ini tahun pertama MSMR diperkenalkan dengan tiga edisi penganjuran dalam tempoh setahun, kami amat berbangga kerana ia bukan sekadar acara larian, malah kini diangkat sebagai festival komuniti antarabangsa yang mempromosikan budaya dan warisan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Acara yang diadakan di hadapan Menara Berkembar Petronas itu dihadiri kira-kira 30,000 pengunjung, sekali gus mengangkat MSMR sebagai satu festival inklusif yang menggabungkan elemen gaya hidup sihat, busana tradisional, makanan, muzik dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia.

MSMR sempena Hari Malaysia 2025 dipacu JETOUR Malaysia selaku penaja utama dan rakan kereta rasmi, dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Acara itu menampilkan tiga acara utama iaitu EKI JETOUR X BSC, perlumbaan berganti menggunakan sarong sebagai selempang yang berlangsung pada 9 September lepas; Perlumbaan 5KM Malaysia Speed (5KMS) yang terbuka kepada rakyat Malaysia sahaja dan berlangsung hari ini serta Kategori 5KM Fun Run yang terbuka kepada semua termasuk pelancong antarabangsa.

Selain itu, acara berkenaan turut menjadi platform pelancongan inklusif bertaraf antarabangsa yang seiring dengan usaha MOTAC mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus mengangkat MSMR sebagai ikon budaya dan gaya hidup Malaysia di peringkat global.

Eddy berkata penggunaan sarong sebagai elemen utama dalam acara itu turut memupuk kebersamaan merentas generasi, khususnya dalam kalangan ahli keluarga yang menyertai acara larian bersama.

“Kita juga boleh melihat lautan manusia mengangkat satu elemen yang sama iaitu sarong, sebuah busana tradisi yang tidak asing di Malaysia dalam MSMR sempena Hari Malaysia 2025, sekali gus mencerminkan nilai kebersamaan dalam kalangan peserta,” katanya.

MSMR pertama kali diperkenalkan pada Februari lepas di Kuala Lumpur dengan penyertaan 11,000 peserta, manakala edisi kedua iaitu MSMR Edisi Sarawak berlangsung di Matang, Kuching dengan lebih 5,500 peserta serta dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan