AM

KPKT Perkukuh Hubungan Bersama Media Melalui Sesi Kelab Concorde

20/09/2025 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming hari ini mengadakan sesi dialog bersama Kelab Concorde, sebuah kumpulan tidak rasmi yang dianggotai oleh editor kanan daripada organisasi media tempatan dan antarabangsa.

Sesi libat urus selama tiga jam, yang dipengerusikan oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai menghimpunkan lebih 18 ketua editor dan wartawan kanan bagi perbincangan terbuka serta konstruktif.

Sesi berkenaan menyediakan platform kepada kementerian untuk berkongsi perkembangan mengenai inisiatifnya serta bertukar pandangan secara langsung dengan pengamal media berhubung dasar nasional dan reformasi kerajaan.

Nga dalam kenyataan berkata sesi itu memberi peluang kepada media untuk memahami dengan lebih baik usaha kementerian serta mengukuhkan kerjasama lebih erat seiring dengan matlamat agenda Malaysia MADANI.

“Saya harap perkongsian ini membawa anda lebih dekat kepada matlamat kami serta mengukuhkan kerjasama dalam perjalanan ke hadapan untuk membina Malaysia MADANI,” katanya.

Dalam sesi itu, Nga turut membentangkan perkembangan utama kementerian serta menekankan lapan reformasi besar yang sedang dilaksanakan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara reformasi yang dibincangkan termasuk pemisahan kuasa yang dinanti-nantikan di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, pemberian kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita rakyat Malaysia, pemisahan Jabatan Peguam Negara daripada Pejabat Pendakwa Raya yang diluluskan Kabinet serta inisiatif bagi mengurangkan kerenah birokrasi di bawah Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025.

Beliau turut menekankan pencapaian kementerian dalam menyampaikan hasil yang nyata, terutama dalam bidang perumahan dan infrastruktur awam, yang setakat ini menyaksikan 493,000 rumah mampu milik siap dibina atau diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, sekali gus mencapai 98.8 peratus daripada sasaran negara.

“Sebanyak 1,171 projek perumahan sakit dan terbengkalai di seluruh negara telah dipulihkan, memberi manfaat kepada 139,848 pembeli rumah, menyiapkan 11,807 projek infrastruktur awam dalam tempoh 24 bulan, dipilih sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat bagi penggal 2025–2029 serta memenangi anugerah khas Yayasan ‘Sifar Sisa Global’.

“Sebanyak RM150 juta diperuntukkan kepada lebih 1,150 rumah ibadat bukan Islam (RIBI) dalam tempoh tiga tahun dan memenangi Anugerah Pembangunan Negara (APN) 2024, sekali gus diiktiraf sebagai kementerian berprestasi terbaik,” katanya.

Sesi berkenaan diakhiri dengan sesi soal jawab yang berlangsung secara interaktif, apabila para editor mengemukakan soalan secara langsung serta berkongsi pandangan bersama menteri.

“Saya amat menghargai peranan media sebagai rakan kongsi kami dalam pembinaan negara. Dengan bekerjasama, kita dapat memastikan maklumat tepat sampai kepada rakyat serta membina keyakinan lebih besar terhadap komitmen kerajaan untuk berkhidmat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan