AM

Tatoli Berhasrat Jalin Kerjasama Strategik Bersama Bernama

19/09/2025 02:26 PM

Daripada V. Sankara

DILI (Timor-Leste), 18 Sept (Bernama) -- Tatoli, agensi berita nasional Timor-Leste menyatakan hasrat menjalin kerjasama strategik dan pertukaran kandungan berita dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi memperkukuh hubungan media di rantau ASEAN.

Presiden Tatoli Noemio Falcao berkata kerjasama itu merangkumi pertukaran kandungan berita, latihan berterusan untuk wartawan serta peluang latihan industri bagi wartawan dan editor kedua-dua pihak. 

Beliau berharap memorandum persefahaman (MoU) berkenaan dapat dimuktamadkan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 Okt ini.

Terdahulu, Falcao menerima 10 anggota delegasi Bernama yang diketuai Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak di pejabat Tatoli di Dili hari ini. 

Delegasi berkenaan berada di Timor-Leste bagi misi liputan khas selama lapan hari sejak 15 Sept.

Ditubuhkan sembilan tahun lepas, Tatoli yang mempunyai 41 wartawan dan editor, termasuk lima koresponden di lima daerah merancang menambah tujuh lagi koresponden bagi melengkapkan liputan seluruh wilayah. 

Agensi itu kini beroperasi sebagai platform berita multimedia melalui web dan YouTube serta merancang menambah saluran TikTok dan Instagram tahun depan.

Bernama dilantik sebagai Media Rasmi dan penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan