SUKAN

Dua Jaringan Doumbia Pacu PDRM Raih Kemenangan Pertama Liga Super

21/09/2025 12:12 AM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- PDRM FC akhirnya meraih kemenangan sulung musim ini selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) 3-1 pada aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Penyerang import dari Ivory Coast, Henri Doumbia muncul wira apabila meledak dua gol pantas pada minit ke-27 dan ke-35, hasil gerakan bersama Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak di sebelah kanan.

TRW berjaya merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Ifedayo Omosuyi pada penghujung babak pertama, namun PDRM kembali selesa apabila Mohamad Imran Samso menambah gol ketiga pada minit ke-55.

Tiga mata itu melonjak PDRM FC ke tangga kelima dengan mengumpul enam mata selepas mencatat tiga keputusan seri dan satu kekalahan dalam empat aksi pertama.

Sementara itu, aksi sebelah petang di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, menyaksikan Imigresen FC sekadar seri 1-1 menentang Negeri Sembilan FC (NSFC).

Skuad The Mighty Tigers mendahului menerusi sentuhan import Colombia, Wilmar Jordan Gil pada minit ke-26, namun kelebihan itu dinafikan apabila penyerang NSFC, Jovan Motika, menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama.

Keputusan itu menyaksikan Imigresen FC terus kempunan kemenangan pertama musim ini sekali gus kekal di tangga ke-11 dengan dua mata, manakala Negeri Sembilan menghuni tempat keenam dengan lima mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan