AM

Kementerian Digital Bincang Dengan KPM, KPT Kukuh Kerjasama Bidang AI

20/09/2025 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Kementerian Digital akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkukuh kerjasama dalam menonjolkan kekuatan akademia Malaysia dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di pentas dunia.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Malaysia mempunyai bakat tempatan yang luar biasa dalam pendidikan mengenai AI dan kementeriannya bercadang untuk menganjurkan program bagi mempamerkan keupayaan Malaysia dalam bidang berkenaan bersama dengan rakan global.

“Sudah tiba masanya untuk kita bincang bersama-sama KPM and KPT berkaitan dengan kemungkinan kita buat satu acara bersama (dengan kerjasama) rakan global untuk menonjolkan kekuatan Malaysia dari sudut akademia (dalam bidang AI) di pentas dunia.

“Kita boleh menonjolkan bahawa Malaysia bukan sahaja (mempunyai) infrastruktur, tetapi juga (ada keupayaan) dari sudut pendidikan dan kekuatan pelajar untuk menonjolkan Malaysia sebagai hab pendidikan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Great Malaysia AI Hackathon 2025 yang berjaya memasuki ASEAN Records bagi kategori Largest On-Site AI Hackathon anjuran Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Amazon Web Services (AWS) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif APU Datuk Parmjit Singh, Naib Presiden Penerimagunaan Digital MDEC Wan Murdani Wan Mohamad dan penceramah jemputan.

Mengulas mengenai program berkenaan, Gobind berkata penganjuran program itu selari dengan dasar kementerian untuk menonjolkan dan menggalakkan inovasi AI.

“Kita semua tahu bahawa dalam dunia teknologi hari ini, kita perlu memberikan fokus kepada (kaedah sesuatu) teknologi dapat menyelesaikan masalah yang kita hadapi, dahulu tidak dapat diselesaikan kerana tidak ada data dan teknologi yang memadai.

“Tetapi kini, kita lihat dengan terbinanya ekosistem AI di Malaysia termasuk infrastruktur yang betul (sesuai) dan yang paling utama (keupayaan) membina bakat, kita boleh menggunakan teknologi dan data untuk membina penyelesaian digital,” katanya.

Gobind juga berkata melalui penganjuran hackathon itu, program berkenaan dapat membantu inovasi AI berkembang pesat di Malaysia dan usaha seperti ini harus dijadikan contoh oleh semua pihak industri. 

Sementara itu, APU dalam kenyataan memaklumkan sejumlah 1,741 peserta terdiri daripada 1,547 pelajar universiti dan 194 profesional industri menyertai hackathon itu yang menghimpunkan ekosistem bakat masa depan, akademia dan peneraju industri untuk memacu ekonomi digital Malaysia.

Sebagai satu daripada hackathon universiti yang dikuasakan AWS terbesar di Asia Pasific, acara itu turut melibatkan 20 mentor industri dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM110,000.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan