MELAKA, 18 Sept (Bernama) -- Sebanyak 800 kes demam denggi direkodkkan di negeri ini dari 1 Jan hingga semalam iaitu penurunan sebanyak 52 peratus, berbanding tempoh yang sama tahun lepas sebanyak 2,200 kes.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Datuk Ngwe Hee Sem berkata peranan aktif dimainkan oleh hampir semua kepimpinan komuniti Rukun Tetangga (RT), khususnya dari aspek kesejahteraan rakyat menyumbang kepada penurunan itu.
“Penurunan kes demam denggi dicapai juga hasil kerjasama erat komuniti RT dengan Jabatan Kesihatan negeri menerusi pelbagai program membasmi pembiakan nyamuk Aedes termasuk menggerakkan program gotong-royong dan kempen kesedaran di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas RT Peringkat Negeri Melaka 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Zulkifli Hashim dan Pengarah JPNIN Melaka Intan Suhana Yusoff.
Ngwe berkata selain aspek kesihatan, kepimpinan komuniti RT turut memainkan peranan penting memastikan kesejahteraan, keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum sama ada di kampung atau taman.
Beliau berkata setiap penganjuran program atau aktiviti yang dilaksanakan juga perlu mengambil kira impaknya kepada masyarakat setempat selain memastikan penglibatan semua penduduk pelbagai peringkat umur dan latar belakang di kawasan RT terlibat.
"Bukan mudah untuk menggerakkan sesuatu aktiviti atau program lebih-lebih lagi memastikan ia mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat, namun usaha berkenaan dapat digerakkan dengan baik oleh semua RT di Melaka.
"Justeru itu, saya mewakili kerajaan negeri amat menghargai jentera perpaduan di bawah JPNIN seperti KRT dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian dan keselamatan masyarakat di peringkat akar umbi," katanya.
Terdahulu, sempena program itu, beliau menyampaikan empat kategori anugerah RT iaitu Anugerah Emas RT, Anugerah Sahabat Digital, Anugerah RT Berdaya Maju dan Anugerah Khas Pemimpin
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial