AM

Selangor Komited Perkasa Agenda Perumahan Mampu Milik

19/09/2025 05:45 PM

SHAH ALAM, 19 Sept (Bernama) -- Kerajaan Selangor yakin agenda memperkasakan perumahan mampu milik dapat direalisasikan hasil kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata komitmen terhadap agenda perumahan rakyat  diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif termasuk Rumah Idaman Selangor yang menawarkan kediaman berkualiti serta lengkap dengan perabot asas pada harga mampu milik.

Beliau berkata inisiatif Smart Rent turut diperkenalkan untuk membantu golongan muda menyewa sebelum mampu memiliki rumah sendiri selain Dana-Sel bagi meringankan beban deposit pembelian rumah.

“Selain itu, projek Rumah Harapan dan Rumah Mampu Milik (RMM) terus diperkasakan demi memastikan lebih ramai rakyat Selangor mampu memiliki kediaman selesa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Amirudin berkata laporan status projek sedia ada telah dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya semalam.

Beliau berkata mesyuarat itu menjadi platform penting membincangkan isu utama berkaitan penyediaan, perancangan dan penyelarasan dasar perumahan mampu milik di seluruh negara.

Mesyuarat itu juga menjadi landasan dalam menggariskan langkah baharu bagi memperkukuh dasar perumahan selaras dengan agenda Malaysia MADANI.

“Insya-Allah, dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, agenda perumahan mampu milik dapat diperkasakan seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat di Selangor dan seluruh Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan