MELAKA, 18 Sept (Bernama) -- Dua klinik statik dengan 16 kakitangan perubatan akan ditempatkan di lokasi utama penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata daripada jumlah itu, satu pasukan perubatan melibatkan enam kakitangan ditempatkan di sebuah hotel di Melaka Raya di sini dan klinik berkenaan akan beroperasi 24 jam.
"Selain itu, dua pasukan perubatan melibatkan 10 anggota akan ditempatkan di sebuah lagi klinik yang dibuka di Encore Melaka sepanjang program bertaraf antarabangsa itu berlangsung.
"Pembukaan klinik statik dan penempatan kakitangan perubatan di dua lokasi berkenaan bertujuan memastikan perkhidmatan perubatan dapat diberikan dengan cepat sekiranya diperlukan," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata selain itu, lima pasukan ambulans termasuk yang bertugas secara lawatan di lokasi terlibat juga akan digerakkan sepanjang penganjuran WTD dan WTC 2025.
Sebanyak 159 delegasi antarabangsa khususnya menteri pelancongan dari seluruh dunia dan anggota Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dijangka menyertai acara berprestij itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial