KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Pasukan benua Australia, St George Continental Cycling Team kembali menyertai perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25) selepas tidak mengambil bahagian tahun lepas.
Menurut kenyataan penganjur, barisan pelumba tahun ini menyaksikan penyertaan pelumba muda negara Tsen Ren Bao yang dilamar pada Mac lepas dan merupakan anak kepada legenda berbasikal negara Tsen Seong Hoong.
Ren Bao akan bergandingan dengan lima lagi pelumba untuk mengharungi saingan lapan peringkat yang bermula di Langkawi pada 28 Sept dan berakhir di Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur (KLCC), pada 5 Okt depan.
Ketua Pegawai Operasi LTdL25, Emir Abdul Jalal berkata kehadiran Ren Bao adalah faktor penting penganjur menjemput semula St George, selepas ARA-Skip Capital mewakili Australia tahun lepas.
“Kami tahu peminat tempatan mahu melihat Ren Bao bersama pasukan profesionalnya di LTdL25. Justeru, kami menjemput semula St George buat kali pertama sejak 2023. Ini juga usaha kami menyokong kerjaya profesional Ren Bao yang berbakat dan berpotensi besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada edisi lepas, Ren Bao, ketika berusia 21 tahun, menamatkan saingan di kedudukan ke-56 keseluruhan pada penampilan sulungnya. Tahun ini, naib juara acara ujian masa individu kebangsaan (ITT) 2024 itu menyertai lebih 10 perlumbaan, namun kurang bernasib baik akibat kemalangan dan kecederaan.
Tiga lagi pelumba muda yang disenaraikan St George ialah pelumba kelahiran New Zealand, Mitchel Fitzsimons, 22, dan Nate Hadden, 19, yang akan mencuba kepakaran mereka di laluan landai, serta pelumba serba boleh Declan Tresize, 23, yang pernah berlatih dengan pasukan Astana dan ARA-Skip Capital.
Dua pelumba paling berpengalaman dalam pasukan ialah bekas pelumba Bolton Equities-Black Spoke, Ben Carman, 30, yang menyertai pada Ogos lepas, serta pelumba Britain, Daniel Whitehouse, 30, yang menjadi taruhan memburu kedudukan terbaik dalam klasifikasi individu keseluruhan.
Daripada enam pelumba disenaraikan, hanya Ren Bao pernah merasai pentas LTdL selepas pasukan itu tidak menurunkan dua pelumba terbaik mereka tahun ini, Nick Kergozou dan Tom Sexton.
Sebagai salah satu perlumbaan paling berprestij di Asia, LTdL25 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI menarik penyertaan 22 pasukan dari seluruh dunia.
LTdL25 akan melewati semua 12 negeri di Semenanjung Malaysia, membabitkan jarak keseluruhan 1,224.2 kilometer yang bermula di Pulau Langkawi pada 28 Sept ini dan berakhir di KLCC pada 5 Okt ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial