AM

Insentif Pengecualian Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Kekal Berkuat Kuasa

18/09/2025 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Dasar insentif pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama kekal berkuat kuasa dan tidak pernah ditarik balik.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dalam kenyataan malam ini memaklumkan insentif pengecualian itu diberikan kepada peminjam PTPTN yang menjadi graduan mulai 2019.

Selain itu, katanya insentif itu turut diberikan kepada graduan yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama daripada institusi pengajian tinggi yang diiktiraf tanpa mengira latar belakang ekonomi, kaum atau agama.

“Sehubungan itu, PTPTN menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu pendidikan serta menghormati dasar sedia ada yang memberikan manfaat secara langsung kepada graduan cemerlang.

“Fokus utama kita adalah untuk memastikan pendidikan kekal sebagai medan pembangunan insan dan bukannya medan polemik politik,” menurut kenyataan itu. 

Norliza memaklumkan graduan yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan boleh mengemukakan permohonan pengecualian bayaran balik secara dalam talian menerusi aplikasi Web myPTPTN di pautan https://myptptn.ptptn.gov.my.

Menurut kenyataan itu, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited dalam memastikan proses permohonan insentif berkenaan dilaksanakan secara telus, efisien dan adil demi menjaga kebajikan peminjam serta menyokong aspirasi pendidikan tinggi negara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan