IPOH, 18 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menziarahi pelajar baharu yang memerlukan di sekitar Besut, Setiu dan Kuala Terengganu bagi membantu mereka menjelang pendaftaran masuk ke universiti itu.
Program dari 15 hingga 17 Sept melibatkan penyampaian Sumbangan Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Perkasa Siswa KPT bagi membantu meringankan beban keluarga agar pelajar terlibat dapat mendaftar masuk ke UPSI pada 27 dan 28 Sept.
Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi KPT Hirman Awang @ Semail berkata inisiatif itu cetusan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi memastikan pelajar berkeperluan tidak tercicir daripada melanjutkan pengajian.
“KPT mahu memastikan bakal pelajar dapat meneruskan pengajian dengan jayanya dan sokongan moral ini penting, apatah lagi bagi yang pertama kali meninggalkan keluarga.
“Kami berharap ziarah ini menjadi suntikan motivasi supaya mereka lebih berkeyakinan menghadapi cabaran dunia kampus selain bantuan awal pendidikan diharap meringankan beban keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut hadir pada program itu Ketua Timbalan Pendaftar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI Maskana Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) Prof Madya Dr Mazura@Mastura Muhammad serta Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni - HEPA) FBK Dr Mohd Amir Mohd Zahari.
Timbalan Naib Canselor (HEPA) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin berkata universiti itu menggerakkan program ziarah ke seluruh negara dari 12 hingga 21 Sept bagi mengesan dan membantu pelajar memerlukan.
Sementara itu, Izzah Syahirah Abdul Hamid Albakri, 20, yang ditawarkan ke Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan berkata bantuan itu sokongan membolehkan dirinya hadir mendaftar di UPSI.
Seorang lagi penerima Nurul Aleeya Maisarah Abdullah, 20, yang ditawarkan ke Program Ijazah Sarjana Muda (Pendidikan Islam) turut bersyukur dengan keprihatinan KPT.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial