AM

Usahawan, Koperasi Terjejas Bencana Boleh Mohon Tangguh Bayaran Pinjaman - Ewon

18/09/2025 07:24 PM

KOTA KINABALU, 18 Sept (Bernama) -- Usahawan dan koperasi yang terjejas akibat banjir serta tanah runtuh boleh memohon penstrukturan semula atau penangguhan bayaran balik pinjaman hingga maksimum enam bulan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Ahli Parlimen Penampang itu berkata dasar sedia ada itu dilaksanakan di seluruh negara apabila sesuatu daerah atau negeri diisytiharkan terjejas bencana.

Ewon berkata kementeriannya mempunyai tujuh agensi pembiayaan termasuk Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan SME Corp Malaysia.

"Usahawan atau koperasi yang terkesan boleh memohon penangguhan pinjaman dengan syarat membuat laporan polis serta memaklumkan kepada agensi pembiayaan masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata peminjam kemudian perlu mengemukakan laporan polis dan pengesahan bahawa premis perniagaan mereka terjejas akibat bencana sebagai bukti untuk memohon penangguhan pinjaman kepada agensi masing-masing.

Beliau berkata polisi ini terpakai di Sabah khususnya di daerah yang terjejas bencana banjir termasuk Penampang, Papar, Beaufort, Sipitang dan beberapa daerah lain.

"Kita mahu membantu dan memastikan usahawan dan koperasi mempunyai ruang untuk bangkit semula selepas berdepan kerugian akibat bencana," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan