DUNIA

Flotila GSF Dari Catania Dijadual Berlayar Selepas 7 Sept

07/09/2025 12:34 AM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Perlepasan konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) kumpulan kedua dari Catania, Itali yang dijadualkan berlayar Khamis lepas terpaksa ditangguhkan sekali lagi.

Jawatankuasa Penganjur memaklumkan perlepasan flotila hanya akan berlaku selepas 7 Sept, namun tarikh baharu belum ditetapkan kerana terdapat kemungkinan berlaku penangguhan lagi.

“Yang pasti perlepasan flotila dari sini (Catania, Itali) hanya akan dibuat selepas flotila dari Tunisia meninggalkan pelabuhan untuk bergabung dengan flotila yang tiba dari Barcelona, Sepanyol,” katanya menerusi pesanan ringkas kepada peserta GSF.

Berdasarkan perancangan awal, perlepasan flotila dari pelabuhan Catania dan Tunisia dijadualkan pada 4 Sept namun peserta dimaklumkan bahawa tarikh perlepasan flotila ditunda hingga esok.

Kumpulan dari Catania dan Tunisia yang masing-masing membabitkan 20 hingga 25 bot, dijadualkan bergabung dengan flotila dari Barcelona yang berlepas pada 31 Ogos bersama 24 bot, melibatkan lebih 200 sukarelawan termasuk 15 rakyat Malaysia.

Antara yang menyertai misi tersebut ialah selebriti tempatan Zizi Kirana dan Ardell Aryana, pendakwah Rahmat Ikhsan atau dikenali PU Rahmat manakala kumpulan kedua membabitkan 15 aktivis Malaysia termasuk pempengaruh Farah Lee dan ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad.

Semua sukarelawan dari Malaysia bernaung di bawah panji Sumud Nusantara diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzaman.

Pelayaran GSF merentasi lautan Mediteranean dengan membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada pertengahan bulan ini. 

Secara keseluruhan, GSF membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.

Pelayaran keamanan GSF diharap mampu menarik perhatian kerajaan seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel sehingga genosid terhadap Gaza dihentikan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk.

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan