AM

Kumpulan A Flotilla Barcelona Dijangka Tiba Di Tunisia 7 Sept

06/09/2025 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Kumpulan A misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang berlepas dari perairan Barcelona, Sepanyol pada 1 Sept dijangka tiba di Tunisia pada Ahad ini (7 Sept).

Aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM Malaysia) Zulfadhli Khiruddin berkata kumpulan itu kini dalam perjalanan ke destinasi ditetapkan, manakala sebuah lagi kumpulan berasingan yang berdepan masalah teknikal, dijangka tiba sedikit lewat.

Beliau berkata keadaan laut bergelora serta tiupan angin kuat merupakan cabaran utama yang dihadapi ketika ini, namun semua peserta kekal bersemangat untuk meneruskan misi berkenaan.

“Dalam kesempatan ini, kami mohon doa seluruh rakyat Malaysia agar misi ini berjalan lancar dengan harapan kami berjaya memecah kepungan rejim, sampai ke Gaza serta menghantar bantuan yang dibawa, sekali gus membuka koridor kemanusiaan bagi membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan.

“Paling penting, hari ini genap 700 hari genocide di Gaza dan kita perlu terus mendoakan saudara kita di Palestin,” katanya kepada Bernama hari ini.

Zulfadhli berkata sepanjang pelayaran kesemua peserta diwajibkan mengikuti ‘non-violence training’ setiap hari, iaitu latihan khusus yang menekankan pendekatan tanpa kekerasan apabila berdepan provokasi, serbuan atau penahanan.

“Latihan ini wajib, siapa yang tidak menyertainya tidak dibenarkan menaiki kapal. Dari atas kapal juga kami teruskan latihan ini setiap hari, untuk memastikan kami sentiasa bersedia menghadapi apa jua kemungkinan,” katanya.

Sebanyak 24 kapal berlepas dari Pelabuhan Barcelona menuju Gaza pada 1 Sept, disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia.

Sementara itu, kumpulan kedua yang sepatutnya berlepas dari Catania, Itali pada Khamis lalu terpaksa menangguhkan perjalanan.

Jawatankuasa Penganjur memaklumkan pelepasan flotilla (Catania) hanya akan berlangsung selepas 7 Sept.

Secara keseluruhan, GSF membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan