SHAH ALAM, 6 Sept (Bernama) -- Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-8 hari ini kecoh apabila beberapa kumpulan mencetuskan provokasi mendesak Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Insiden itu berlaku ketika sesi ucapan dasar presiden apabila Muhyiddin menyentuh isu cubaan menjatuhkan kepimpinannya melalui cara mengumpul tandatangan.
"Katanya ada orang kutip tandatangan untuk jatuhkan Presiden. Ini tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti... kalau Presiden dijatuhkan melalui kutipan tandangan, semua yang ada di atas pentas ini pun boleh dijatuhkan melalui cara yang sama.
"Ketua-Ketua Bahagian, Ketua Armada, Ketua Srikandi, Ketua Srikandi Muda, Ketua Bersekutu dan semua Ahli Jawatankuasa Bahagian pun boleh ditimpa nasib yang sama," katanya ketika berucap pada perhimpunan itu malam ini.
Ucapan beliau disambut dengan jeritan "tidak benar" dipercayai bagi menafikan perkara itu diikuti laungan "turun Tan Sri" sebelum berlaku kekecohan di antara perwakilan yang kemudiannya berjaya ditenteramkan.
Pada sidang media selepas itu, Muhyiddin berkata beliau tidak tahu mengenai desakan tersebut dan ia akan disemak oleh pihak keselamatan untuk tindakan lanjut.
"Saya tidak terganggu dengan perkara yang berlaku… saya anggap itu perkara biasa sahaja, yang penting Bersatu masih lagi bergerak sebagai parti politik dan kita lihat semangat secara keseluruhannya amat tinggi," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial