JENAYAH & MAHKAMAH

Anggota Polis Cedera Di Muka Ketika Cuba Leraikan Pergaduhan Di Hospital Sungai Buloh

06/09/2025 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Seorang anggota polis cedera di bahagian muka ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan di Hospital Sungai Buloh dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.10 pagi yang memaklumkan terdapat pergaduhan di wad kecemasan dan menggerakkan pasukan peronda ke lokasi kejadian.

Beliau berkata anggota yang bertugas di pondok polis hospital itu telah bergerak awal untuk mengawal keadaan sebelum pasukan peronda tiba.

"Sebaik pasukan peronda tiba, didapati anggota berkenaan telah dipukul oleh seorang lelaki berusia lingkungan 40-an… berdasarkan maklumat awal, anggota berkenaan cuba meleraikan pergaduhan antara sekumpulan lelaki dan wanita... bagaimanapun, suspek telah bertindak agresif dan menyerang anggota berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan di muka," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hafiz berkata cubaan polis untuk menahan suspek juga telah dihalang dan diganggu sehingga berlaku sedikit pergelutan namun lelaki itu berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.

Beliau berkata suspek direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan