AM

Perak Laksana Polisi Perangi Gula Bermula 1 Sept 2025

03/09/2025 05:51 PM

IPOH, 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan Perak melaksanakan Polisi Perangi Gula Negeri Perak bermula 1 Sept lepas sebagai langkah strategik untuk melindungi kesihatan rakyat, meningkatkan produktiviti, serta membina generasi Perak yang sihat dan berdaya tahan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan, berkata kerajaan negeri meluluskan pelaksanaan polisi itu pada 27 Ogos lepas.

Beliau berkata polisi tersebut bertujuan memacu perubahan gaya hidup rakyat Perak melalui tiga tindakan teras iaitu pendidikan dan pemerkasaan komuniti, persekitaran yang menyokong, serta insentif ekonomi dan pengiktirafan.

“Sebuah Jawatankuasa Pemandu Khas akan ditubuhkan di bawah pengawasan saya untuk memantau pelaksanaan polisi secara berfasa bermula September 2025.

“Polisi Perangi Gula adalah komitmen serius kerajaan negeri untuk memperkukuh kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat Perak. Dengan tindakan proaktif ini, Perak diyakini mampu menjadi contoh kepada negeri-negeri lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Sivanesan berkata Perak merupakan negeri pertama yang mengeluarkan polisi seumpama itu dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan untuk mengawal penyakit diabetes serta obesiti.

Sebelum ini, Kempen Perangi Gula yang dilancarkan merupakan antara usaha kerajaan negeri bagi menghindarkan rakyat menjadi mangsa penyakit akibat pengambilan gula berlebihan.

Langkah tersebut antaranya termasuk pengurangan penggunaan gula dalam minuman dan makanan di semua majlis anjuran jabatan kerajaan di Perak sebanyak 50 peratus, termasuk ketika mesyuarat rasmi.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan