Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pesta Kaamatan, Hari Gawai Lambang Perpaduan Masyarakat

29/05/2025 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Generasi muda harus dididik untuk memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai satu landasan keharmonian dan kekuatan nasional.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata dalam dunia yang semakin moden dan mencabar ini, generasi muda memainkan peranan penting untuk mewarisi dan mengekalkan adat resam serta amalan budaya nenek moyang.

“Kerajaan MADANI melalui Kementerian Perpaduan Negara kekal komited dalam memperkukuhkan nilai perpaduan sebagai teras pembangunan negara.

“Seiring dengan semangat ini, pelbagai inisiatif seperti program silang budaya, pendidikan warisan serta dialog antara komuniti terus diperkasakan,” katanya dalam kenyataan hari ini bersempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pada 30 dan 31 Mei ini.

Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Iban, Bidayuh dan Selako serta pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak yang meraikan perayaan itu.

Beliau berkata Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bukan sahaja perayaan warisan yang kaya dengan nilai adat resam dan budaya, malah ia melambangkan semangat kesyukuran, muafakat dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Ad Banner

Menurut beliau, kepelbagaian budaya, bahasa dan warisan yang dimiliki oleh rakyat Malaysia adalah satu anugerah serta kekuatan yang tidak ternilai, sekali gus menjadikan Malaysia unik di mata dunia dan perlu terus dipelihara, dihormati dan diraikan oleh semua lapisan masyarakat.

Aaron berkata semangat ‘Segulai Sejalai’ yang bermaksud seiring sejalan harus menjadi nilai hidup yang ditanam dalam hati setiap warganegara, terutamanya generasi muda yang bakal mewarisi masa depan negara.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dengan jiwa Malaysia MADANI, memupuk rasa hormat dalam kepelbagaian, memelihara khazanah budaya warisan serta memperteguh silaturahim sebagai asas kekuatan negara bangsa yang bersatu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan