BALIK PULAU, 30 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemui terperosok di celah batu di cerun bukit kira-kira 30 meter dari tebing di kawasan Bukit Titi Serong di sini, hari ini.
Teh Seng Keat, 78, yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam kawasan cerun itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 4.08 petang hari ini yang memaklumkan terdapat sebuah kereta telah terbabas di kawasan tersebut.
"Sebaik bomba tiba mendapati terdapat sebuah kereta telah terjatuh ke dalam cerun dengan ketinggian 30 meter dan pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki warga emas terperosok di celah batu di situ tidak jauh dari kenderaan tersebut," katanya kepada Bernama malam ini.
Beliau berkata mangsa yang mengalami luka-luka termasuk pada badan dan tangan serta dalam keadaan letih diselamatkan pihaknya sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan.
Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki memohon bantuan orang ramai untuk mengesan bapanya yang dilaporkan hilang sejak 5.30 petang semalam selepas keluar memandu kereta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial