POLITIK > BERITA

UMNO Belum Terima Surat Peletakan Jawatan Tengku Zafrul - Asyraf Wajdi

30/05/2025 11:25 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- UMNO masih belum menerima secara rasmi surat peletakan jawatan Ahli Majlis Tertinggi parti itu Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, kata Setiausaha Agungnya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf Wajdi dalam kenyataan malam ini berkata UMNO memandang serius niat peletakan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu kerana ingin menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakharmonian dalam kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan sehingga tercetus pula prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap kesetiakawanan, keikhlasan dan kejujuran sesama sendiri dalam kalangan ahli akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh memberitahu Bernama beliau akan mengulas mengenai perkara itu esok.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

Menurut Tengku Zafrul beliau telah menyatakan niat untuk menyertai PKR kepada Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Fuziah. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan