KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang diraikan hari ini hingga Isnin, menjadi bukti bahawa keharmonian, toleransi dan muafakat mampu menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu keluarga besar tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya bersempena dengan sambutan perayaan itu berkata ia bukan sahaja melambangkan rasa syukur terhadap hasil tuaian, tetapi juga mencerminkan kekayaan tradisi serta warisan budaya masyarakat Sabah dan Sarawak.
“Pada tanggal 30 Mei hingga 2 Jun setiap tahun, rakyat Malaysia khususnya masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Dayak dan pelbagai etnik lain di bumi Sabah dan Sarawak meraikan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai sebagai lambang kesyukuran kepada hasil tuaian.
“Semoga sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini membawa kebaikan, kemakmuran dan masa depan yang lebih gemilang buat seluruh rakyat Malaysia khususnya di bumi Sabah dan Sarawak. Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai!” katanya menerusi hantaran X hari ini.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Pesta Kaamatan adalah antara bukti nyata bahawa kepelbagaian budaya di negara ini bukan sekadar wujud, tetapi turut diraikan dengan penuh bangga.
“Dalam semangat Malaysia MADANI, nilai-nilai saling menghormati, meraikan perbezaan dan hidup bersama dalam suasana damai merupakan prinsip yang terus kita junjung bersama.
“Saya mewakili seluruh warga Kementerian Dalam Negeri mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikan perayaan ini dengan penuh semangat dan kegembiraan,” katanya melalui catatan Facebook hari ini.
Saifuddin Nasution berharap sambutan Kaamatan tahun ini berlangsung dalam suasana aman, penuh makna dan terus mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.
“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan!” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pula berharap supaya musim ini membawa limpahan rezeki, kesihatan yang baik dan hubungan lebih erat dengan insan-insan tercinta.
“Saya titipkan ucapan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada semua yang menyambutnya.
“Malaysia ini kuat kerana kita saling melengkapi. Setiap kali kita mengangkat budaya satu sama lain, kita sedang membina negara dengan kasih dan hormat dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan Pesta Kaamatan yang diraikan penuh tradisi ini bukan sekadar sebagai simbol kesyukuran kepada hasil tuaian, tetapi juga membawa maksud yang lebih luas.
Beliau dalam hantaran Facebook berkata nilai dan makna sambutan perayaan berkenaan terletak pada kebersamaan rakyat meraikannya dalam suasana harmoni, toleransi dan saling menghormati.
“Bertepatan dengan tema 'Kaamatan Untuk Semua', semoga perayaan ini akan memperkukuh perpaduan, meraikan kepelbagaian budaya dan membawa kegembiraan buat kita semua. Kotobian Tadau Tagaza Do Kaamatan. Kaamatan Montok Toinsanan,” katanya.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pula berkata Hari Gawai yang disambut setiap 1 Jun oleh masyarakat Dayak di Sarawak adalah sebagai tanda syukur atas hasil tuaian dan permulaan tahun baharu bagi mereka.
“Ia penuh dengan adat, tarian tradisional, makanan istimewa dan semangat kekeluargaan yang hangat. Selamat Hari Gawai kepada semua yang menyambut! Semoga perayaan ini membawa kegembiraan, kesejahteraan dan mengeratkan silaturahim. Gayu Guru Gerai Nyamai!” katanya dalam hantaran menerusi Facebook.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial