ISKANDAR PUTERI, 26 Mei (Bernama) -- Kerajaan Johor akan bertindak dengan lebih tegas bagi menangani masalah pembuangan sampah haram yang semakin membimbangkan.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata langkah lebih radikal dan menyeluruh, perlu diambil bagi memastikan kelestarian alam sekitar negeri terus terpelihara.
Selain itu, beliau berkata titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail baru-baru ini berhubung pencemaran sungai dan jalan akibat sikap segelintir pihak tidak bertanggungjawab, juga menjadi isyarat jelas bahawa sudah tiba masa untuk tindakan lebih drastik diambil.
“Antaranya, kenaikan kadar kompaun minimum sebagai isyarat jelas kepada semua pihak, selain meminda atau menggubal undang-undang baharu yang lebih relevan dan tegas,” katanya ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata kerajaan negeri juga menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Pembuangan Sampah Haram, dengan tiga fokus utama termasuk memperkukuh penguatkuasaan dan menyemak semula undang-undang kecil yang lapuk.
Jawatankuasa itu juga berperanan memperluas pendidikan sivik dan kempen kesedaran awam secara lebih agresif dan memperkenalkan sistem pemantauan pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di lokasi panas, untuk mempercepat pengesanan serta pendakwaan pesalah.
Onn Hafiz juga berpandangan walaupun Seksyen 69 Akta Kerajaan Tempatan 1976 membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendenda mereka terlibat sehingga RM2,000 atau penjara setahun manakala Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan denda sehingga RM100,000 bagi pencemaran air, namun undang-undang itu boleh diperhalusi semula.
“Jika dibandingkan, negara lain jauh lebih ketat dan agresif daripada kita. Sebagai contoh, Singapura mengenakan denda antara 2,000 dolar Singapura (RM6,600) hingga 50,000 dolar Singapura (RM165,000), Corrective Work Order (kerja pembersihan awam) dan Name & Shame (menyiarkan nama pesalah).
“Korea Selatan pula mengenakan denda sehingga 100 juta won (RM350,000) dan penjara sehingga tujuh tahun dengan penggunaan teknologi seperti Internet benda (IoT) dan kamera litar tertutup (CCTV).
“Di Jepun, undang-undang seperti Undang-Undang Pengurusan Sisa dan Pembersihan Awam dan Undang-Undang Kawalan Pencemaran Air, memberi kuasa luas kepada pihak berkuasa, dengan denda boleh mencecah 10 juta yen (lebih RM300,000) dan penjara sehingga lima tahun,” katanya.
Selain itu, Onn Hafiz berkata satistik pada 2024 menunjukkan PBT telah mengambil tindakan terhadap 2,206 kes pembuangan sampah dengan jumlah kompaun RM654,210 di Johor, manakala setakat April tahun ini, sebanyak 634 kes direkodkan melibatkan kompaun RM202,700.
Pada 16 Mei, Tunku Mahkota Ismail menerusi titah perasmian pembukaan persidangan DUN Johor menitahkan undang-undang ‘sangat tegas’ dikenakan terhadap mereka tidak bertangggungjawab membuang sampah secara haram, sehingga membebankan kerajaan negeri untuk membelanjakan wang rakyat bagi kerja pembersihan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial