Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini di sebalik kebimbangan mengenai isu berkaitan cuaca, kata seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata keadaan cuaca buruk boleh menjejaskan pengeluaran dan output dalam beberapa bulan akan datang.
"Kami mengesan paras sokongan pada RM4,500 satu tan metrik dan dan paras rintangan pada RM4,650 setan," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM telah hampir menebus semula semua kerugian dialami sejak dua hari sebelumnya dalam dagangan sebelum cuti umum.
Pasaran telah dipacu oleh pembelian masa harga murah, kelemahan mata wang ringgit serta pemulihan semula harga minyak mentah.
Bagaimanapun, keuntungan dihadkan oleh data pengeluaran yang lebih kukuh dikeluarkan oleh Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) dengan pengeluaran minyak sawit untuk 1 hingga 15 Jun, 2026, meningkat sebanyak 13.79 peratus.
Angka-angka terkini ini adalah perbandingan dengan pertumbuhan pengeluaran sebanyak 17.42 peratus untuk 1 hingga 10 Jun dan 21.71 peratus untuk 1 hingga 5 Jun.
Pada penutup dagangan, kontrak niaga hadapan MSM bagi bulan semerta Julai 2026 naik RM89 kepada RM4,501 satu tan metrik, Ogos 2026 meningkat RM88 kepada RM4,504 dan September 2026 melonjak RM89 kepada RM4,574.
Jumlah dagangan menambah kepada 89,705 lot daripada 72,726 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka menokok kepada 289,934 kontrak daripada 281,385 kontrak sebelumnya.
Sementara itu, harga MSM fizikal bagi Jun Selatan naik RM90 kepada RM4,520 satu tan metrik.
-- BERNAMA