KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO), melancarkan Program Bersepadu Bandar Mampan (SCIP) GEF-8 di Selangor.
Program itu bertujuan memacu penyahkarbonan bandar dan menyokong masa depan sifar bersih Malaysia, kata kedua-dua pihak berkenaan dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Dilancarkan di Hab Perkongsian MIGHT baru-baru ini, program berkenaan merupakan satu pencapaian penting dalam inisiatif tindakan iklim Selangor.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Rushdi Abdul Rahim berkata pelancaran itu menandakan langkah strategik Malaysia ke arah bandar bersepadu yang mampan, di samping menetapkan penyahkarbonan bukan sekadar aspirasi dasar, tetapi satu realiti yang berdaya maju dari segi pembiayaan di peringkat bandar.
Beliau menekankan pentingnya kerjasama yang erat dan penyelarasan antara rakan kongsi peringkat negeri, persekutuan dan antarabangsa dalam menggerakkan inisiatif tersebut ke hadapan.
Pihak berkepentingan utama dalam SCIP GEF-8 termasuk kerajaan Negeri Selangor selaku rakan kongsi peneraju peringkat negeri, MIGHT sebagai entiti pelaksana nasional, UNIDO sebagai agensi pelaksana projek di bawah pembiayaan Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF), GEF bertindak sebagai penyedia dana dan Bank Dunia sebagai agensi peneraju bagi SCIP.
Menurut kenyataan itu, Malaysia adalah antara 20 buah negara yang menyertai SCIP GEF-8, sebuah inisiatif bernilai US$145 juta (US$1=RM4.06) yang dirangka untuk menyokong kemampanan di 50 buah bandar di seluruh dunia.
Malaysia memperuntukkan sebanyak US$4.8 juta di bawah program itu dengan pelaksanaannya diterajui oleh UNIDO melalui kerjasama dengan MIGHT.
Kenyataan itu menyatakan program berkenaan mengenal pasti tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, iaitu Shah Alam, Klang dan Sepang sebagai lokasi permulaan yang strategik untuk penyahkarbonan bandar bersepadu di Malaysia.
Program itu merangkumi lima komponen utama yang direka untuk menggalakkan persekitaran bandar mampan.
Ini termasuk membolehkan bandar-bandar melaksanakan dasar penyahkarbonan bersepadu, memudahkan sokongan kewangan untuk bandar mengatasi cabaran perubahan iklim, merintis dan memperluas projek demonstrasi, memperkukuh pengurusan pengetahuan dan pembinaan kapasiti untuk PBT, serta menjejaki kemajuan dan kesannya.
Sepanjang tempoh jangka hayatnya selama 20 tahun, program itu menyasarkan untuk mencapai pengurangan langsung sebanyak 500,000 tan setara karbon dioksida bagi pelepasan gas rumah hijau, dengan potensi pengurangan tidak langsung sehingga satu juta tan.
Ia juga menyasarkan pemulihan 300 hektar tanah dan ekosistem, serta meningkatkan amalan pengurusan tanah merangkumi kawasan seluas 500 hektar.
Program berkenaan dilancarkan secara rasmi oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.
-- BERNAMA