EKONOMI

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Bagi Hari Kedua Berturut-turut

16/06/2026 07:22 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan peningkatan bagi hari kedua berturut-turut hari ini, ditutup lebih daripada satu peratus lebih tinggi disebabkan sentimen pelabur kekal aktif dalam persekitaran keadaan pasaran serantau yang semakin baik dan minat belian dalam kaunter wajaran tinggi.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 18.60 mata atau 1.10 peratus kepada 1,709.99 daripada 1,691.39 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 0.07 mata kepada 1,691.32 mata dan bergerak antara jajaran 1,685.57 dan 1,711.20 sepanjang sesi dagangan. Keseluruhan pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 600 berbanding 552, manakala 566 kaunter tidak berubah, 991 tidak diniagakan dan 25 digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.93 bilion unit bernilai RM3.45 bilion daripada 5.02 bilion unit bernilai RM3.91 bilion pada Isnin.

 Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata berkata indeks penanda aras itu dibina berdasarkan momentum kukuh semalam, disokong oleh pembelian asing terbaharu dan kebimbangan geopolitik yang semakin berkurangan.

Beliau berkata saham perbankan menyumbang dengan ketara kepada kemajuan indeks dengan pelabur terus mengutamakan saham wajaran tinggi kewangan di sebalik jangkaan pertumbuhan pinjaman mampan, kualiti aset yang stabil dan hasil dividen menarik.

“Sektor ini kekal sebagai tonggak utama yang menyokong peningkatan pasaran lebih luas,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata ekuiti Asia secara umumnya diniagakan lebih kukuh apabila pelabur melihat pelarasan dasar monetari oleh Bank of Japan sebagai tanda peningkatan asas ekonomi dan bukannya ancaman kepada pertumbuhan.

“Melihat ke depan, peserta pasaran dijangka memberi tumpuan kepada siaran pendapatan korporat yang akan datang, perkembangan dasar monetari global dan trend aliran dana asing untuk hala tuju selanjutnya,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 24 sen kepada RM11.16, Public Bank meningkat 13 sen kepada RM5.05, Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM14.56, CIMB pada RM7.78 dan IHH Healthcare menokok 10 sen kepada RM8.79.

Bagi saham aktif, Tanco melonjak dua sen kepada 15 sen, Pentech naik 5.5 sen kepada 31.5 sen, Hong Seng tidak berubah pada 1.5 sen, Elsa yang baru disenaraikan di Pasaran ACE menambah 4.5 sen kepada 27.5 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Nestle meningkat RM2.30 kepada RM96.80, United Plantations melonjak 72 sen kepada RM32.22, Hong Leong Bank menokok 34 sen kepada RM22.00 dan Malaysian Pacific Industries menambah 30 sen kepada RM49.30.

Antara kaunter paling rugi, Dutch Lady turun 54 sen kepada RM32.26, Press Metal susut 20 sen kepada RM8.20, Negri Sembilan Oil Palms menguncup 18 sen kepada RM5.24, and Ajinomoto berkurangan 16 sen kepada RM15.24.

Dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, Vantris Energy Bhd memaklumkan bahawa ia akan dikeluarkan daripada status Nota Amalan 17 (PN17) berkuat kuasa mulai jam 9.00 pagi pada Khamis, 18 Jun, 2026.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 101.25 mata kepada 12,662.18, Indeks FBMT 100 meningkat 104.68 mata kepada 12,449.39, Indeks FBM 70 menokok 17.78 mata kepada 18,110.56, Indeks FBM ACE menambah 25.12 mata kepada 4,776.99 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 52.97 mata kepada 12,474.74.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 292.90 mata kepada 20,284.26, Indeks Tenaga menokok 4.17 mata kepada 764.63, Indeks Perladangan meningkat 50.35 mata kepada 8,779.37, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.07 mata kepada 188.57.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.05 bilion unit bernilai RM3.05 bilion daripada 2.93 bilion unit bernilai RM3.45 pada Isnin.

Jumlah dagangan waran menguncup kepada 1.11 bilion unit bernilai RM146.79 juta daripada 1.36 bilion unit bernilai RM187.84 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 766.52 juta saham bernilai RM254.78 juta daripada 727.70 juta saham bernilai RM273.33 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 239.77 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (366.04 juta), pembinaan (128.88 juta), teknologi (377.83 juta), perkhidmatan kewangan (104.31 juta), hartanah (396.17 juta), perladangan (22.64 juta), REIT (27.39 juta), dana tertutup (360,200), tenaga (112.82 juta), penjagaan kesihatan (131.02 juta), telekomunikasi dan media (51.72 juta), pengangkutan dan logistik (46.92 juta), utiliti (47.72 juta), dan amanah perniagaan (11,500).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569283