Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Selasa sekali gus mendorong harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 mencapai paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun, menurut peniaga.
Harga SMR 20 yang direkodkan pada 22 Februari 2017 adalah 20,943.00 sen sekilogram.
Pada 3 petang hari ini, harga SMR 20 melonjak 11.0 sen kepada 947.50 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat enam sen kepada 792.0 sen sekilogram.
"Pasaran mencapai paras tertinggi baharu bagi 2026, disokong oleh kenaikan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan kebimbangan mengenai bekalan getah asli yang terhad, pertumbuhan berterusan dalam permintaan kenderaan elektrik (EV) global dan aktiviti pembuatan Amerika Syarikat (AS) yang berdaya tahan," katanya kepada Bernama.
Menurut peniaga, pendaftaran EV global meningkat tiga peratus tahun ke tahun kepada 1.8 juta unit pada Mei manakala output pembuatan AS kekal berdaya tahan, disokong oleh pelaburan berterusan dalam industri berkaitan kecerdasan buatan.
Beliau berkata bagaimanapun kenaikan selanjutnya dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah, data ekonomi China yang bercampur-campur serta pendirian berwaspada pelabur menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS minggu ini.
Menurutnya harga minyak menurun selepas mencapai paras terendah dalam tempoh tiga bulan berikutan pasaran menunggu perkembangan mengenai perjanjian AS-Iran dan pembukaan semula Selat Hormuz.
-- BERNAMA