AM

ASA 2026 Kekal Mutu Penjurian Tinggi Dan Telus

16/06/2026 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 akan mengekalkan mutu penjurian yang tinggi dan telus menerusi penglibatan panel profesional serta proses audit oleh juruaudit kerajaan.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi Puteri Farah Nadiah Zukifli berkata setiap penyertaan akan dinilai secara ketat oleh barisan juri yang terdiri daripada ahli akademik dalam bidang industri kreatif.

“Juri yang dipilih bukan calang-calang, terdiri daripada golongan profesional termasuk ahli akademik dalam bidang industri kreatif dan pemain industri berkelayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Fokus 30 bertajuk ‘Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026’ terbitan Bernama Radio di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata penggiat industri kreatif perlu merebut peluang menyertai ASA 2026 yang menjadi platform utama dalam mengangkat martabat industri penyiaran dan kandungan digital tempatan.

Selain pemerkasaan mutu penjurian, ASA 2026 turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan kategori bagi memastikan ia kekal relevan dengan trend landskap media semasa.

Beliau berkata bagi kategori radio, anugerah Pengulas Radio Terbaik diperkenalkan semula selepas kali terakhir dipertandingkan pada 2022 dan tidak dipertandingkan pada edisi 2024 atas beberapa faktor tertentu.

Bagi kategori media baharu, kategori Drama Bersiri Terbaik dimansuhkan dan digabungkan dengan kategori lain menerusi pengenalan kategori Kandungan Drama, Drama Bersiri dan Drama Mikro Terbaik.

"Kategori Kandungan Video Terbaik turut dijenamakan semula kepada Video Pendek Terbaik bagi mencerminkan perkembangan trend penghasilan kandungan digital," katanya. 

Pencalonan ASA 2026 dibuka bermula 4 Jun dan akan berakhir pada 22 Jun ini bagi memberi ruang kepada penggiat industri penyiaran, radio, televisyen dan media baharu untuk mengetengahkan karya terbaik masing-masing.

Malam kemuncak ASA 2026 dijadualkan berlangsung pada 24 Okt depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan pemenang bakal membawa pulang trofi eksklusif berserta ganjaran wang tunai.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569259