AM

79 Pusat NADI Beroperasi Di Kelantan, Integrasi Kesihatan Luar Bandar Diperkukuh - Fahmi

16/06/2026 05:54 PM

KOTA BHARU, 16 Jun (Bernama) -- Sebanyak 79 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini beroperasi sepenuhnya di seluruh Kelantan, sekali gus menyaksikan kemudahan digital berkenaan mempunyai peranan yang sangat penting di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata setiap pusat NADI berkenaan dilengkapi dengan capaian Internet berkelajuan tinggi serta menyediakan pelbagai modul pendidikan, pembelajaran sekolah, pemerkasaan usahawan dan latihan teknologi terbaharu seperti kecerdasan buatan (AI).

Selain memfokuskan kepada literasi digital, beliau berkata fungsi NADI kini diperluas ke sektor kesihatan komuniti melalui kolaborasi strategik bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan KKM untuk mentransformasikan NADI sebagai pusat saringan kesihatan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Pemeteraian MoU berkenaan turut disaksikan sendiri bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Negeri Kelantan di sini hari ini.

Mengenai perancangan masa depan, Fahmi berkata kementeriannya telah diarahkan menerima 1,091 pusat komuniti desa di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk diserap fungsi menjadi pusat NADI.

Selain itu, beliau berkata terdapat beberapa permohonan untuk penambahan kemudahan tersebut termasuk daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim dan pihaknya sedang memperincikan perkara itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569226