KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) bersepadu, Elsa Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, menyasarkan untuk meningkatkan pertumbuhan dalam segmen teknologi digital, robotik dan kejuruteraan.
Syarikat itu mencatatkan prestasi yang menggalakkan pada hari pertama dagangannya.
Pada 9 pagi, saham Elsa diniagakan pada 25 sen, iaitu premium dua sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 23 sen, dengan 11.08 juta saham diniagakan.
Ketua Pegawai Operasinya, Azril Hassan berkata berdasarkan landskap industri semasa, bidang digital kekal antara sektor yang paling banyak mendapat permintaan dan terus menarik minat pasaran yang semakin meningkat.
“Matlamat kami adalah terus berkembang dalam bidang kejuruteraan digital dan robotik, merupakan bidang tumpuan utama pada masa depan dan memperluas operasi melangkaui sektor minyak dan gas kepada perniagaan bukan minyak dan gas.
“Kami turut berharap syarikat akan mencapai permodalan pasaran sebanyak kira-kira setengah bilion dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang,” katanya pada sidang media hari ini.
Mengenai konflik di Asia Barat, Azril berkata Elsa, sebagai sebuah syarikat perkhidmatan OGSE melihatnya sebagai peluang berbanding risiko.
“Perkhidmatan kami dirangka untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam ekosistem pelanggan kami.
“Oleh itu, kami melihat situasi ini sebagai peluang untuk mencipta nilai tambah berbanding jurang atau risiko yang perlu diuruskan,” katanya.
Penyenaraian Elsa hari ini merupakan yang pertama daripada 20 syarikat bumiputera generasi baharu berpotensi tinggi yang dikenal pasti oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) melalui Dana Pengambilalihan Strategik Bumiputera (BSAF) selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Majlis penyenaraian itu dihadiri Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasri, Timbalan Menteri Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi.
Junady berkata kejayaan Elsa menunjukkan bagaimana ekosistem sokongan TERAJU membantu syarikat bumiputera berpotensi tinggi memacu perjalanan mereka untuk mencapai pasaran modal.
“Melalui sokongan pembiayaan strategik menerusi BSAF, TERAJU membantu syarikat bumiputera memperkukuh kapasiti perniagaan mereka, meningkatkan daya saing dan memacu kesediaan ke arah penyenaraian awam.
“TERAJU akan terus memperkukuh ekosistem ini bagi melahirkan syarikat bumiputera yang lebih berdaya saing dan berimpak tinggi serta bersedia untuk maju ke peringkat seterusnya selaras dengan aspirasi PuTERA35,” katanya.
-- BERNAMA