KOTA BHARU, 16 Jun (Bernama) --Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperkukuh kerjasama sedia ada bagi memantau serta menangani sebarang cubaan memainkan sentimen 3R (Raja, Agama dan Kaum) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah penguatkuasaan bersepadu itu merangkumi pemantauan terhadap siri ceramah fizikal serta penyebaran kandungan digital menerusi pelbagai platform media sosial.
Beliau berkata pembahagian bidang kuasa antara agensi penguat kuasa telah ditetapkan dengan jelas bagi memastikan proses PRN berjalan lancar.
“Sekiranya pelanggaran atau kesalahan yang menyentuh isu 3R berlaku secara fizikal sepanjang tempoh berkempen rasmi, tindakan akan diserahkan kepada PDRM atau SPR.
“Sebarang provokasi atau kesalahan fizikal yang dikesan sebelum tempoh berkempen bermula pula berada di bawah bidang kuasa penuh PDRM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Negeri Kelantan, di sini, hari ini.
Bagi penyebaran kandungan berbaur 3R secara dalam talian sama ada menerusi siaran langsung atau rakaman video, Fahmi berkata MCMC akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya menerima aduan.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak yang bertanding supaya berkempen secara sihat dan berhemah,” katanya.
Beliau berkata kerjasama antara SPR, MCMC dan PDRM telah lama terjalin dalam usaha memastikan ketenteraman serta keharmonian awam sentiasa terpelihara.
PRN Johor akan diadakan pada 11 Julai ini, manakala PRN Negeri Sembilan pula pada 1 Ogos depan.
Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.
Bagi Negeri Sembilan, pada pilihan raya negeri 2023, PH memenangi 17 kerusi DUN, diikuti BN dengan 14 kerusi dan PN lima kerusi.
-- BERNAMA