IPOH, 16 Jun (Bernama) -- Semua 71 mangsa banjir yang berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Larut Matang dan Selama serta Manjung dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing tengah hari ini selepas bencana berkenaan pulih sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat berkata pemantauan agensi berkaitan mendapati paras air di kawasan terlibat telah surut sepenuhnya.
“Sehubungan itu, saya mengisytiharkan penutupan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar pada 2 petang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Pegawai Daerah Manjung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Shamsul Ridzuan Idris berkata PPS SK Beruas di daerah itu turut ditutup pada waktu yang sama hari ini.
"Hasil pemantauan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pejabat Penghulu Mukim Beruas mengesahkan keadaan telah kembali selamat.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua agensi kerajaan negeri, Persekutuan dan individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dan menyelaras PPS dengan baik,” katanya dalam kenyataan berasingan.
-- BERNAMA