JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Nelayan Hilang Di Perairan Kemaman Masih Gagal Ditemukan Hari Ketujuh CARILAMAT

17/06/2026 02:44 PM

CHUKAI, 17 Jun (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Kemaman sejak 10 Jun, diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian meliputi 50.40 batu nautika persegi.

Pengarah Maritim Zon Kemaman Abdul Halim Hamzah berkata operasi yang memasuki hari ketujuh itu, melibatkan 19 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkat aset yang terlibat ialah sebuah kapal APMM, KM Redang bersama 19 anggota serta sebuah bot PDRM, PLC 3.

“Setakat pada 12 tengah hari ini, pasukan pencarian masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu berkaitan kedua-dua mangsa iaitu tekong tekong Azan Muda, 68, dan Nordin Mohammad, 61,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam insiden 10 Jun, bot nelayan yang dinaiki Azan dan Nordin tenggelam dalam kejadian ribut pada 12.30 tengah malam.

Bagaimanapun seorang lagi nelayan yang menaiki bot berkenaan Mahadi Jusoh, 51, berjaya diselamatkan nelayan lain pada 10.30 pagi keesokkannya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569553