AM

Pengiktirafan Diterima Tokoh Maal Hijrah Wajar Dijadikan Inspirasi Umat Islam

17/06/2026 02:09 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Pengiktirafan yang diberikan kepada penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah hari ini wajar dijadikan inspirasi buat semua umat Islam di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, beliau berkata umat Islam diseru untuk terus menimba ilmu, berbakti kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan ummah, negara serta peradaban Islam.

“Tahniah kepada Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang menerima Anugerah Tokoh Kebangsaan serta Prof Sheikh Dr Ahmad Al-Raysuni yang menerima Anugerah Tokoh Antarabangsa.

“Pengiktirafan ini mencerminkan sumbangan besar yang telah dicurahkan dalam memperkasa umat, mengangkat martabat ilmu serta menyebarkan nilai-nilai Islam yang membawa rahmat, hikmah dan manfaat kepada masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof juga sependapat bahawa pengiktirafan itu perlu menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat untuk terus berbakti dan menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“Tahniah kepada penerima Tokoh Ma’al Hijrah Tahun 1448H/2026M yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan ummah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Osman dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448/2026 di Masjid Putra, Putrajaya manakala Ahmad Al-Raysuni, pakar fiqah Islam dari Maghribi diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang berkenan mengurniakan wang tunai, trofi dan sijil penghargaan kepada dua tokoh berkenaan.

Sementara itu, Fadillah berkata peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar catatan sejarah, malah menjadi pedoman yang mengajar umat Islam tentang nilai pengorbanan, kesatuan, kecekalan dan iltizam untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik.

Beliau berkata semangat itu perlu terus dihayati dalam usaha membangunkan masyarakat dan negara yang maju, sejahtera serta berteraskan nilai-nilai murni.

“Marilah kita bersama-sama memperkukuh perpaduan, meningkatkan keimanan dan memperbanyakkan amal kebajikan demi kesejahteraan ummah serta kemakmuran negara,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569547