KLUANG, 17 Jun (Bernama) -- Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang maut akibat terkena letupan bom ketika menjalani latihan membaling grenade di Kem Hobart, Gurun, Kedah semalam, Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, selamat dikebumikan pada 1.15 tengah hari tadi.
Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak di sini apabila ahli keluarga, sanak saudara, rakan serta anggota tentera hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Pada istiadat pengebumian itu, simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada waris Allahyarham disempurnakan oleh Panglima 7 Briged, Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia Kem Mahkota Brigedier Jeneral Datuk Zulhelmy Masdar kepada bapa Allahyarham, Sungip Jais, 65.
Terdahulu, jenazah Allahyarham selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada kira-kira 2.30 pagi sebelum dibawa pulang ke sini.
Jenazah Siti Khadijah yang diiringi Ketua Trup Medan Pertama Leftenan Muhammad Lutfil Hadi Osman bersama-sama empat anggota daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Kem Sangro, Taiping, Perak, tiba di kediaman ibu bapanya di Taman Sri Lambak pada 12.10 tengah hari sebelum dibawa ke Masjid Darul Iman untuk disolatkan.
Solat jenazah itu diimamkan oleh Mejar Mohd Azlan Shah Abdul Razak dari Institut Kejuruteraan Medan (IKM) TDM.
Dalam kejadian pada 10.57 pagi semalam, Siti Khadijah dan seorang lagi anggota, Koperal Norazmi Abu Bakar, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Kedah akibat kecederaan parah susulan letupan berkenaan.
TDM dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua mangsa yang terlibat dalam insiden itu ialah Norazmi daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Siti Khadijah daripada Skuadron Pertama RAJD.
Menurut TDM, kedua-dua anggota berkenaan mengalami kecederaan akibat letupan semasa menjalani latihan di lapang sasar tersebut.
-- BERNAMA