JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak Lelaki Meninggal Dunia Di Taman Tema Air Sungai Buloh

16/06/2026 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia selepas ditemukan dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri di sebuah taman tema air di Sungai Buloh, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai terjatuh selepas keluar dari kawasan kolam.

“Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Hafiz berkata setakat ini, siasatan tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Beliau berkata orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhamad Zul Irfan Omar melalui talian 017-5393648 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569198