KIGALI (Rwanda), 23 Mei (Bernama-Anadolu) -- Rwanda pada Jumaat mengetatkan langkah pencegahan terhadap pengembara yang mahu memasuki negara itu dari negara jiran, Republik Demokratik Congo susulan wabak Ebola di rantau berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.
Kementerian Kesihatan memaklumkan rakyat Rwanda dan penduduk yang mempunyai bukti pemastautin sah di Rwanda, yang tiba dari Congo dalam tempoh 30 hari lepas, akan dikenakan kuarantin wajib selaras dengan protokol kesihatan awam.
Kementerian itu turut memaklumkan semua warga asing yang pernah melakukan perjalanan ke atau transit melalui Congo dalam tempoh 30 hari sebelum perjalanan mereka ke Rwanda, tidak akan dibenarkan masuk.
Congo menyaksikan peningkatan kes Ebola sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei di wilayah Ituri.
Penyakit itu turut merebak ke wilayah Kivu Utara dan Kivu Selatan.
Kira-kira 750 kes disyaki dan 177 kematian disyaki dilaporkan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat.
WHO memaklumkan sekurang-kurangnya 82 kes dan tujuh kematian disahkan di Congo.
Dua kes import melibatkan warga Congo turut dilaporkan di negara jiran, Uganda.
Uganda menggantung penerbangan ke dan dari Congo dalam usaha mencegah penularan wabak itu.
Setakat ini, tiada kes dilaporkan di Rwanda.
Kementerian Kesihatan Rwanda memaklumkan negara itu kekal terbuka, selamat dan bersedia, selain menggalakkan penduduk, pelawat dan peserta acara meneruskan aktiviti dirancang sambil mematuhi amalan kebersihan standard.
Kementerian turut memaklumkan pihaknya memperkukuh saringan kesihatan dan kewaspadaan di pintu masuk sempadan darat dengan Congo, manakala langkah kawalan dipertingkat turut dikuatkuasakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kigali bagi pengembara yang tiba.
WHO mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa.
Presiden Congo Felix Tshisekedi pada Rabu menegaskan keperluan mempergiat tindak balas pelbagai sektor terhadap epidemik itu dengan menggerakkan semua institusi berkaitan bagi memperkukuh pencegahan dan kesedaran awam.
-- BERNAMA-ANADOLU